☆Tadabbur Kalamullah 1 Syawal 1445H☆

☆Tadabbur Kalamullah 1 Syawal 1445H☆

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” [Surah al-Baqarah 185]

#Allah swt perintahkan kita puasa sebulan di bulan Ramadhan, membesarkanNya dan mensyukuri hidayah yang dikurniakan kepada kita. Alhamdulillah, selesai dan sempurna sudah puasa sebulan yang diperintahkanNya. Saat ini umat Islam sedang menyambut hari raya Aidilfitri. Hari kemenangan setelah sebulan berjuang melawan kehendak nafsu dan menundukkannya agar taat patuh pada perintahNya serta hari membesarkan Allah dengan gema laungan takbir.

#Di hari raya ini sewajarnya dijadikan masa untuk kita terus bersyukur dan beristiqamah menjadi hamba Allah yang soleh setelah sebulan kita bertungkus lumus berjuang melawan godaan hawa nafsu. Ingatlah bahawa hari raya bukannya waktu untuk kita kembali kepada sikap dan perangai lama yang kurang baik serta memenuhi segala kehendak nafsu samada nafsu makan atau nafsu berhibur.

#Sewajarnya kita jadikan bulan Ramadhan yang dilalui sebulan sebagai pendidik untuk kita 

terus menjadi hamba Allah yang Rabbani dan bukan semata-mata hamba Ramadhani yakni kenal Allah hanya di bulan Ramadhan sahaja.

كُنْ رَبَّانِيًا وَلَا تَكُنْ رَمَضَانِيًا

“Jadilah hamba Allah, bukan hamba Ramadhan”

#Firman Allah swt:

وَلَـٰكِن كُونُوا۟ رَبَّـٰنِیِّـۧنَ

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna)” [Surah Āli-ʿImran 79]

#Ini sesuai dengan matlamat berpuasa itu sendiri agar kita menjadi hamba Allah swt yang beriman dan bertakwa dengan sebenar-benarnya.

#Berkata Imam Ibnu Rajab rahimahullah dalam kitabnya Lata’if al-Ma‘arif: 

“Hari Raya adalah musim kegembiraan dan keceriaan, namun kegembiraan dan keceriaan orang mukmin di dunia ini hanyalah semata-mata demi Tuhan mereka, iaitu hanya apabila mereka berjaya 

menyempurnakan ketaatan terhadapNya dan memperolehi ganjaran amalan mereka, melalui kepercayaan penuh mereka terhadap janjiNya ke atas amalan tersebut, yang semata-mata dengan limpahan kurnia dan keampunanNya jua”.

#Jadilah hamba Allah yang  sentiasa mengingati dan membesarkanNya bukan semata-mata hanya pada bulan Ramadhan atau di Hari Raya sahaja, tetapi ianya perlulah dilakukan secara berterusan pada setiap masa dan ketika.

#Marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramadhan yang telah kita lalui sebagai tarbiyah untuk menambahkan lagi semangat kita sebagai hamba Allah swt yang sejati.

♡Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum♡

🐊Ust naim

Klik link ini untuk    

http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   

Leave a comment