☆Tadabbur Kalamullah 17 Syawal 1445H☆
إِنَّ ٱللَّهَ یُدۡخِلُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَفۡعَلُ مَا یُرِیدُ
“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya” [Surah al-Ḥajj 14]
#Ramai daripada kita membaca dan telah mendengar ayat diatas berkaitan janji syurga bagi orang yang beramal soleh. Namun, berapa ramai yang rasa teruja untuk melakukan amal soleh bagi melayakkan diri ke syurga.
#Sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang merentasi satu jalan kerana mencari ilmu, Allah mudahkan untuknya satu jalan ke syurga” (HR Muslim)
#Salah satu jalan untuk ke syurga ialah melalui jalan menuntut ilmu. Peluang besar dan mudah dijanjikan Allah dan RasulNya untuk melangkah ke syurga.
#Namun begitu, masih ramai yang bermudah-mudah mencari alasan untuk tidak hadir ke majlis ilmu, walhal majlis itu diadakan di masjid atau surau yang terletak beberapa langkah sahaja dari rumah kediaman masing-masing.
#Kadang-kadang terdengar alasan tidak datang ke majlis ilmu kerana hendak ke pasar atau ke padang futsal. Masyaa Allah.
#Hal ini berlaku, apabila kita tidak memahami kepentingan sesuatu perkara, tidak mengetahui apa yang lebih utama, kita akan membuat keputusan, menentukan pilihan mengikut pemikiran dan selera kita sahaja.
#Dalam hadis di atas menyebut, merentasi satu jalan kerana mencari ilmu, Allah mudahkan satu jalan ke syurga! Subhanallah.. Siapa yang tidak mahukan syurga? Siapa yang tidak inginkan syurga? Bukankah itu yang kita pohon hampir setiap hari.
#Maka, Rasulullah saw sudah tunjuk jalan. Satu jalan yang mudah. Keluar seketika dari keselesaan rumah, berjalan beberapa langkah menuju ke tempat diadakan majlis ilmu. Maka jalan ke syurga pun dimudahkan.
#Imam Malik rahimahullah berkata, telah disampaikan kepadanya bahawa Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku, dampingilah orang-orang alim dan rapatkanlah dirimu dengan mereka kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan curahan hujan dari langit”.
♡Setiap hari kita dikurniakan 24 jam, maka pastikan setiap hari ada dalam jadual harian kita beberapa jam daripada 24 jam untuk majlis ilmu. Selamat menuntut ilmu, moga syurga menjadi milik kita. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
