☆Tadabbur Kalamullah 16 Syawal 1445H☆
وَجَاۤءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّۖ ذَ ٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِیدُ
“Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” [Surah Qāf 19]
#Semua kita tahu bahawa kematian itu pasti. Cuma penerimaan apabila berlaku kematian terutama pada ahli keluarga terdekat dan tersayang agak berbeza.
#Ada yang redha, tenang dan menerima segala ketentuan Ilahi tanpa sebarang rintihan dan rungutan. Ada juga yang sebaliknya, tidak redha dan tidak dapat menerima takdir Ilahi.
#Setiap daripada kita pernah menghadapi situasi kehilangan insan tersayang dalam kehidupan. Keadaan itu adalah suatu ketentuan yang tidak dapat dijangkakan. Kehilangan insan tersayang ada kalanya membuatkan seseorang itu hilang tempat bergantung dan menyandarkan pengharapan pada saat diperlukan. Kehilangan orang tersayang juga boleh menjadikan dunia tiba-tiba bagai kelam dan perasaan diselubungi kesedihan. Itulah naluri fitrah manusia. Sedih atas kematian dan kehilangan orang terdekat.
#Sayidina Anas bin Malik r.a menceritakan bahawa ketika anakanda Rasulullah saw yang bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanganlah kedua-dua mata baginda saw, lantas Sayidina Abdur Rahman bin Auf r.a berkata: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah saw: “Wahai anak lelaki Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu adalah suatu rahmat” (HRal-Bukhari)
#Islam meraikan emosi manusia namun ditegah apabila berlebihan hingga meratap, meraung dan tidak redha atas takdir tersebut.
#Walaupun sesuatu kehilangan itu amat berat untuk diterima, namun kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan. Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a sewaktu menghadapi kewafatan Rasulullah saw, menyampaikan ucapan, katanya:
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali. Seterusnya beliau membaca firman Allah swt dalam Surah Aali Imran ayat 144:
وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولࣱ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُۚ أَفَإِی۟ن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰۤ أَعۡقَـٰبِكُمۡۚ وَمَن یَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَیۡهِ فَلَن یَضُرَّ ٱللَّهَ شَیۡـࣰٔاۗ وَسَیَجۡزِی ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِینَ
“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)” [Surah Āali-ʿImrān 144]
#Ini menunjukkan bahawa kekuatan jiwa perlu dibangunkan dengan menyerahkan kebergantungan yang tinggi kepada Allah, menjauhkan diri daripada perkara dilarang, membina sifat positif dalam menghadapi musibah iaitu sabar, redha, bersangka baik dengan Allah, berdoa memohon kekuatan dan ketabahan serta pergantian yang lebih baik.
♡Banyakkan berdoa agar dikurniakan ketabahan hati dan doakan agar simati bahagia di alam barzakh♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
