☆Tadabbur Kalamullah 13 Syawal 1445H☆
وَجَاۤءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّۖ ذَ ٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِیدُ
“Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” [Surah Qāf 19]
#Hidup ini merupakan sebuah perjalanan menuju satu destinasi iaitu kematian!.
#Setiap perjalanan, jauh atau dekat memerlukan bekalan. Bekalan itu tidak boleh putus. Jika terputus bekalan, kita mesti berhenti untuk mengambilnya kerana ia sesuatu yang sangat penting.
#Bekalan yang dibawa mesti bersesuaian dengan destinasi yang hendak dituju. Jika bekalan itu berupa matawang, kita mestilah membawa matawang yang diguna pakai di negeri atau negara yang hendak kita lawati.
#Jika kita tidak memiliki matawang tersebut, kita perlu mencari pusat-pusat penukaran matawang untuk menukarkan matawang kita mengikut matawang tempat tersebut. Jika kita membawa matawang negara kita nescaya tak laku dan tidak boleh digunakan di negara tersebut.
#Namun, jika destinasi kita adalah kematian iaitu pulang ke negeri akhirat, negeri yang sangat berbeza dengan negeri dunia, maka sebarang apapun matawang memang tidak laku. Maka kita perlu tukarkan matawang kita yang banyak itu kepada amal soleh yang akan bertukar kepada matawang pahala.
#Hal ini kerana di negeri akhirat menggunakan pahala sebagai matawang. Maka kita kena tukar matawang kita yang ada kepada bentuk zakat, sedeqah, infaq fi sabillah, wakaf, pembinaan rumah anak yatim, membantu orang yang memerlukan disamping memperbanyakkan amal soleh seperti solat sunat, solat malam, bacaan al-Quran, zikir, dakwah, perjuangan menyebarkan kebaikan, jihad menegakkan Islam dan seumpamanya. Semua ini akan menjadi bekal terbaik untuk kita.
وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَیۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُونِ یَـٰۤأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
“Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya)” [Surah al-Baqarah 197]
#Kita juga perlu menambah bekalan pada setiap hari dengan bekal yang terbaik.
#Berkata al-Imam Sahl al-Tustari rahimahullah:
من علامات حب الله: حب القرآن وعلامة حب الله وحب القرآن وحب النبي صلّى الله عليه وسلم وعلامة حب النبي صلّى الله عليه وسلم: حب السنة، وعلامة حب السنة: حب الآخرة، ومن علامة حب الآخرة: بغض الدُّنْيَا، وعلامة بغض الدُّنْيَا أن لا يأخذ منها إلا زادًا يبلغه إِلَى الآخرة.
“Bukti cinta seseorang itu pada Allah adalah dengan dia mencintai al-Quran. Bukti cintanya seseorang pada Allah, al-Quran dan Nabi saw adalah dengan mencintai Sunnah. Bukti mencintai Sunnah adalah dengan mencintai akhirat. Bukti mencintai akhirat adalah dengan menolak dunia. Bukti menolak dunia ialah dengan tidak mengambil sebarang perkara di dunia melainkan ianya bekalan untuk akhirat” (Lihat: Majmu’ Rasail oleh Ibnu Rejab)
♡Sediakanlah amal terbaik untuk kematian, moga ianya menjadi pahala terbesar untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
