☆Tadabbur Kalamullah 11 Syawal 1445H☆
وَجَاۤءَتۡ سَكۡرَةُ ٱلۡمَوۡتِ بِٱلۡحَقِّۖ ذَ ٰلِكَ مَا كُنتَ مِنۡهُ تَحِیدُ
“Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmaut” membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!” [Surah Qāf 19]
#Mati itu pasti. Kehidupan yang sentiasa mengingati mati itu adalah kehidupan orang bertaqwa. Mereka akan lakukan perkara yang membahagiakan mereka selepas kematian dan sentiasa ingat Allah swt dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
#Berkata Salafussoleh:
صم الدنيا واجعل فطرك الموت، الدنيا كلها شهر صيام المتقين يصومون فيه عن الشهوات المحرمات، فإذا جاءهم الموت فقد انقضى شهر صيامهم واستهلوا عيد فطرهم
“Berpuasalah engkau daripada dunia dan jadikan iftarnya (berbukanya) adalah dengan kematian. Hidup di dunia hakikatnya seperti bulan puasa bagi orang yang bertaqwa, mereka berpuasa daripada syahwat dan perkara yang diharamkan, ketika datang kematian maka telah berakhirlah bulan puasa baginya dan menyambutnya dengan (seolah-olah) sambutan aidilfitri” (Lihat: Lataif al-Maarif)
#Ketika Rasulullah saw masih hidup, waris si mati akan bertanya kepada Rasulullah tentang keadaan si mati selepas kematiannya. Jika dikhabarkan si mati berada di syurga atau mendapat keampunan Allah, maka ia akan memberi ketenangan hati dan mengubat kesedihan si waris sebagaimana yang diriwayatkan tentang kematian Sayidina Harithah:
عن أنس رضي الله عنه أن أم الرُّبيع بنت البراء وهي أم حارثة بن سُراقة، أتَت النبي صلى الله عليه وسلم فقالت: يا رسول الله، ألا تُحَدِّثُنِي عن حارثة -وكان قُتِل يوم بَدْرٍ- فإن كان في الجنَّة صَبَرْت، وإن كان غير ذلك اجْتَهَدْتُ عليه في البُكَاء، فقال: يا أم حارثة، إنها جِنَان في الجنة، وإن ابْنَك أصَاب الفِردَوْس الأعلى
Daripada Sayidina Anas r.a bahawa Ummu Harithah datang kepada Rasulullah saw bertanya tentang Harithah (anaknya) yang telah meninggal dalam perang Badar kerana terkena panah sesat. Ummu Harithah berkata: “Ya Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang Harithah. Jika dia di dalam syurga, nescaya aku akan bersabar. Tetapi jika sebaliknya, aku akan bertambah sedih”. Lalu Nabi saw bersabda: “Wahai Ummu Harithah, syurga itu banyak tingkatannya. Sesungguhnya anakmu berada dalam syurga Firdaus yang tertinggi” (HR al-Bukhari)
#Selepas wafatnya Rasulullah saw, tidak mungkin kita mendapat khabar tentang keadaan si mati selepas kematiannya. Walau bagaimanapun, terdapat tanda-tanda semasa kematian yang menjadi petunjuk bahawa si mati mendapat husnul khatimah dan diredhai Allah.
#Antara tanda kematian yang baik ialah amalan terakhirnya mati dalam keadaan melakukan amal soleh dan kebaikan. Amalan soleh sebelum kematian itu adalah merupakan taufiq daripada Allah swt.
#Rasulullah saw bersabda:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ؛ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا عَسَلُهُ؟ قَالَ: يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ، ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ
“Apabila Allah swt menghendaki kebaikan bagi hambaNya, maka Allah memberinya ‘asal’. Para sahabat bertanya:” Ya Rasulullah, apa maksud ‘asal dariNya’?. Baginda bersabda: “Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan itu (husnul khatimah)” (HR at-Tirmizi)
#Dalam hadis yang lain, Nabi saw bersabda:
مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ
“Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga” (HR Abu Daud)
#Seseorang yang ketika ajalnya menyebut kalimah tauhid, menunjukkan bahawa di dalam hati dan fikirannya tidak ada tujuan lain selain bertemu dengan Allah dalam keadaan mengharapkan redha dan keampunannya.
♡Moga kita diberi taufiq, mati dalam keadaan sentiasa melakukan kebaikan. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
