☆Tadabbur Kalamullah 6 Syawal 1445H☆
وَلَقَدۡ یَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرࣲ
“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” [Surah al-Qamar 17]
#Pendidikan al-Quran mempunyai keutamaan tersendiri dan seharusnya kita jadikan agenda pertama untuk mendidik anak-anak.
#Tetapi seperkara yang wajib kita sedari semasa proses mendidik anak-anak agar jiwa mereka jinak dengan al-Quran ialah kita sendiri sebagai ibu bapa mesti terlebih dahulu memberikan contoh teladan kepada mereka.
#Berkata Syeikh Mustafa al-Himsi menerusi Kitabnya, Dalil Falihin Fi Hifz al-Quran al-Karim wa Tahfazihi: “Dan tidak syak lagi, sesungguhnya qudwah (contoh teladan) memainkan peranan yang besar dalam membimbing anak-anak dalam membudayakan bacaan al-Quran. Mana mungkin kamu mahu anak kamu menghafaz surah-surah al-Quran, sedangkan kamu tidak membaca dan menghafaznya?”.
#Berkata Sayidina Abdullah bin Abbas r.huma: “Sesiapa yang membaca al-Quran sebelum umurnya baligh, maka akan dikurniakan kebijaksanaan pada usia kecilnya”.
#Diriwayatkan bahawa sejak kecil lagi, Imam an-Nawawi rajin menuntut ilmu, menghafaz al-Quran dan seumpamanya. Seorang wali Allah, Syeikh Yasin bin Yusuf al-Murrakusyi berkata:
Aku melihat beliau (an-Nawawi) ketika umurnya 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak lain memaksa beliau untuk bermain bersama-sama. Namun beliau lari daripada mereka dan menangis dengan paksaan mereka. Sebaliknya, beliau membaca al-Quran ketika itu. Maka timbul di hatiku perasaan kasihkannya. Bapanya menyuruhnya menjaga kedai. Namun Aktiviti jual beli itu tetap tidak melalaikan dirinya daripada membaca al-Quran.
Kata Syeikh Yasin lagi: “Aku kemudian pergi berjumpa dengan guru al-Qurannya dan berpesan supaya mengambil berat hal dirinya dan aku menyebut, ‘Sesungguhnya dia akan menjadi orang yang paling alim dan zuhud pada zamannya, serta akan memberi manfaat kepada ramai manusia.’ Maka gurunya bertanya, ‘Adakah tuan ahli nujum?’ Aku menjawab, ‘Tidak, sebaliknya ia adalah ilham daripada Allah.”
Perkara tersebut kemudian diceritakan kepada bapanya, lalu bapanya memberi perhatian yang tinggi terhadap pelajaran dan hafazannya sehingga beliau berjaya khatam al-Quran sebelum usia baligh. Firasat Syeikh Yasin itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan. (Lihat: Imam al-Nawawioleh Syeikh ‘Abd al-Ghani al-Daqqar)
♡Bersamalah kita menguatkan diri untuk mendidik dan menjadikan anak kita sentiasa hidup bermesra dengan al-Quran. Meskipun, kita mungkin tidak berupaya melahirkan seorang anak yang hafiz, namun sekurangnya anak-anak kita tidak berasa asing dengan Kitab Allah, al-Quran al-karim♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
