☆Tadabbur Kalamullah 4 Syawal 1445H☆

☆Tadabbur Kalamullah 4 Syawal 1445H☆

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” [Surah al-Baqarah 185]

#Sambutan hari raya Aidilfitri yang diraikan setahun sekali adalah perayaan yang disyariatkan oleh Islam.

#Hari raya dinamakan dengan aid (عيد) kerana  hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira mengikut kerangka syariat sebagai tanda syukur atas nikmat berhari raya.

#Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi saw sampai di Madinah, Nabi saw mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya lalu Nabi saw bertanya: “Apakah dua hari ini?. Lalu jawab mereka:” Ia adalah hari untuk kami bergembira”, nabi saw bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha” (HR Abu Daud)

#Hari raya merupakan hadiah istimewa setelah sebulan umat Islam menjalani ibadah puasa dengan penuh kesungguhan, serta disusuli dengan meningkatkan amal ibadah dan amalan kebaikan semata-mata mengharapkan rahmat dan keampunan Allah swt. Oleh yang demikian, Aidilfitri perlu diraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran supaya rahmat dan redha Allah swt sentiasa menaungi kehidupan kita.

#Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu dengan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, serta sebagai tanda kejayaan kita dalam usaha mencapai ketinggian iman dan takwa kepada Allah swt.

#Oleh itu, jadikanlah sambutan Aidilfitri sebagai matlamat kita dalam memulakan langkah baharu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik menurut aturan syariat demi meraih keredhaan Allah swt. Kita juga diingatkan agar tidak melampaui batas syariat sehingga menyebabkan segala ganjaran kebaikan yang telah dilakukan dalam bulan Ramadhan menjadi sia-sia.

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِیعَةࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَاۤءَ ٱلَّذِینَ لَا یَعۡلَمُونَ

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)” [Surah al-Jāthiyah 18]

♡Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran dan ketaqwaan menjadi lebih bermakna dan mempereratkan hubungan kita dengan Allah swt serta sesama manusia♡

🐊Ust naim

Klik link ini untuk    

http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   

Leave a comment