Bisikan Ruh Ramadhan 28
Perasaan di awal Syawal.
Tidaklah seorang manusia itu merasai kebahagiaan melainkan Allah ta’ala yang telah membahagiakannya,
Sesungguhnya Allah lah, pada hakikatnya yang menjadikan ia tertawa dan menangis,
Dialah jua yang membahagiakannya atau mencelakakannya,
Dan Dialah yang mengkayakannya atau mempapakannya,
Sesungguhnya kebahagiaan itu tidak terletak pada pasangannya dan anak-anak, kawan-kawan mahu pun harta dan kekayaan,
Juga bukan pada wang yang melimpah, rumah yang indah, pakaian yang mewah,
Kebahagiaan, hakikatnya terletak apabila hati dapat mengenali Allah ta’ala dan dapat hidup dan sentiasa berhubung dengan Allah ‘Azza wa Jalla ,
Inilah hakikat kebahagiaan yang sebenarnya.
قال الحسن البصري (رحمه الله) :
تفقدوا الحلاوة في الصلاة والقران والذكر , فإن وجدتموها فأبشروا وأملوا وإلا فأعلموا أن الباب مغلــــق …
Berkata Hassan Al Basri rahimahullah ta’ala,
“Ambillah rasa kemanisan dalam solat, Al Quran dan zikrullah. Maka jika kamu dapat merasainya bergembiralah dan berharaplah ( keredhaanNya ). Jika tidak, ketahuilah oleh mu bahawa pintu ( ke hadhratNya ) adalah tertutup”.
Kemuncaknya hanya akan dapat dinikmati bila rahmat dan redha Allah ta’ala melepaskanmu dari ancaman nerakaNya dan engkau selamat dimasukkan ke dalam syurgaNya.
كُلُّنَفْسٍذَائِقَةُالْمَوْتِوَإِنَّمَاتُوَفَّوْنَأُجُورَكُمْيَوْمَالْقِيَامَةِفَمَنزُحْزِحَعَنِالنَّارِوَأُدْخِلَالْجَنَّةَفَقَدْفَازَوَمَاالْحَيَاةُالدُّنْيَاإِلَّامَتَاعُالْغُرُورِ ﴿آلعمران: ١٨٥﴾
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (185)
(Ali ‘Imran: 185)
Justeru, didiklah dan asuhlah hatimu dengan jalan-jalan yang dapat sampai ke pintu hadrat Allah ta’ala sehingga sentiasa dapat merasai sentuhan dan hubungan jiwa yang berpanjangan dengan Tuhanmu.
اللهم اجعلنا من السعداء في الدنيا وفي الاخرة
“Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan yang bahagia di dunia dan di akhirat.”
واجعلنا من العتقاء من النار
“Dan jadikanlah kami di kalangan hamba-hambaMu yang dibebaskan dari nerakaMu.”
ABi
