☆Tadabbur Kalamullah 3 Syawal 1445H☆

☆Tadabbur Kalamullah 3 Syawal 1445H☆

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” [Surah al-Baqarah 185]

#Perayaan dalam Islam sepatutnya semakin mendekatkan diri kita kepada Allah swt dan seterusnya melahirkan rasa syukur.

#Berkata Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat ini:

إذا قمتم بما أمركم الله من طاعته بأداء فرائضه، وترك محارمه، وحفظ حدوده، فلعلكم أن تكونوا من الشاكرين

“Bersyukur adalah apabila kalian melaksanakan semua perintah Allah dengan ketaatan dengan melaksanakan kewajiban-kewajibanNya, dan meninggalkan keharamanNya, dan menjaga hududNya (batasan syariat). Maka menjadilah orang yang bersyukur”.

#Berkata al-Hasan dalam kitab Lathaif al-Maarif:

 قول الحسن من كتاب لطائف المعارف: كل يومٍ لا يُعصى الله فيه فهو عيد

“Setiap hari yang tidak ada sebarang maksiat terhadap Allah padanya, maka itulah Hari Raya”

 كل يوم يقطعه المؤمن في طاعة مولاه وذِكره وشُكره فهو له عيد

“Setiap hari yang dilalui seorang mukmin dalam keadaan mentaati Tuhannya, mengingati dan mensyukuriNya, maka itulah Hari Raya baginya”

#Ini menunjukkan bahawa hari raya adalah hari untuk membesarkan Allah dan hari bagi orang-orang yang taat. Hari untuk tunduk dan patuh kepada seluruh aturan yang telah ditetapkan Allah swt bukannya hari untuk bermaksiat, berhibur, mengenyangkan kehendak hawa nafsu atau membesarkan kenikmatan dunia.

#Berkata Imam Ibnu Rajab:

“Hari Raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang berpakaian baru, tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang ketaatannya bertambah maju. Hari Raya (yang sebenar) itu bukanlah bagi orang yang bergaya dengan berbagai pakaian dan kenderaan, tetapi Hari Raya itu adalah bagi orang yang dosa-dosanya mendapat keampunan”.

#Oleh itu, nikmat berada di sepanjang bulan Ramadhan dan dengan kehadiran Aidilfitri perlu disyukuri. Bersyukur kepada Allah swt dengan cara mengagungkanNya dan membesarkanNya. Inilah antara perkara yang dituntut dalam Islam agar setiap umatnya menyedari hakikat bahawa mereka adalah hamba kepada Allah swt Yang Maha Esa.

#Mengagungkan Allah swt boleh diserlahkan dengan membasahkan lidah dengan puji-pujian terhadapNya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a menyatakan bahawa: “Sesungguhnya Rasulullah saw keluar pada dua  hari raya bersama al-Fadl bin ‘Abbas, Abdullah bin ‘Abbas, al-‘Abbas, Ali, Ja’far, al-Hasan dan al-Husain, Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah dan Aiman bin Ummi Aiman dengan menguatkan suara mengucapkan tahlil dan takbir” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

♡Kedatangan Aidilfitri patut dihayati oleh setiap umat Islam dengan perasaan syukur, gembira dengan membesarkan Allah swt. Islam menjadikan Aidilfitri sebagai satu kurniaan untuk umatnya menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana diberi peluang melaksanakan ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Tidak ada perasaan paling gembira yang sepatutnya dirasai oleh setiap umat Islam selain apabila diri telah menerima keampunan daripada Allah swt dan diterima segala amalnya. Allahuakbar!!♡

🐊Ust naim

Klik link ini untuk    

http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   

Leave a comment