☆Tadabbur Kalamullah 2 Syawal 1445H☆

☆Tadabbur Kalamullah 2 Syawal 1445H☆

وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” [Surah al-Baqarah 185]

#Setiap kali kita sambut hari raya, antara perkara yang diperintahkan Allah swt kepada kita ialah melaungkan takbir bagi membesarkan Allah swt.

#Ucapan takbir iaitu Allahuakbar (Allah Maha Besar) adalah ucapan mulia bagi membesarkan Allah swt. Apabila takbir diucapkan, kita wajib menyedari dan mengetahui bahawa Allah swt itu lebih besar dan lebih agung berbanding segala sesuatu yang lain selain daripadaNya. Malah, segala sesuatu yang lain itu tidak layak untuk dibesarkan atau ditinggikan, apatah lagi ditakutkan.

#Apabila kita bertakbir bererti kita membesarkan Allah swt dan mengecilkan yang lain daripadaNya. Oleh itu, ucapan ini disyariatkan dalam azan dan iqamah yang dilaksanakan lima kali sehari. Begitu juga ketika kita melakukan takbiratul ihram dan takbir intiqal dalam setiap ibadah solat.

#Laungan takbir ini disyariatkan dalam takbir Aidilfitri dan juga ketika sambutan hari raya Aidiladha, dua perayaan dan hari kegembiraan bagi umat Islam. Semuanya bagi membesarkan dan mentakzimkan Allah swt, Tuhan semesta alam yang mencipta dan mengurus tadbir segala makhluk yang dijadikan. Tiada yang lebih besar selain daripadaNya.

#Laungan takbir tidak hanya terbatas pada semua perkara yang disebutkan di atas. Malah, Nabi saw juga pernah melaungkan takbir ketika hendak melancarkan peperangan. Ini berlaku ketika perang Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah ketika baginda hendak menyerang kaum Yahudi Khaibar yang melakukan pengkhianatan.

#Baginda saw bersabda: “Allahuakbar. Hancurlah Khaibar. Sesungguhnya apabila kami turun di kawasan sesuatu kaum, maka sudah tentu buruklah hari orang yang telah diberikan amaran itu.” Baginda saw mengulanginya sebanyak tiga kali. (HR al-Bukhari dan Muslim)

#Diriwayatkan juga bahawa baginda saw pernah melaungkan takbir ketika gembira dengan kemenangan yang diraih serta kedatangan ahli Yaman.

#Berkata Sayidina Ibn Abbas r.a, sewaktu baginda Nabi saw berada di Madinah, baginda pernah bersabda: “Allahuakbar. Allahuakbar. Telah datang pertolongan Allah. Telah datang pembukaan. Telah datang ahli Yaman, iaitu satu kaum yang bersih hati mereka lagi mudah ketaatan mereka. Iman itu bersifat Yaman. Fiqah itu bersifat Yaman. Hikmah itu bersifat Yaman” (HR Ibn Hibban dalam Sahihnya) 

*Maksudnya, diumpamakan iman, fiqah dan hikmah sedemikian adalah disebabkan sifat bersih hati dan mudah taat yang ada pada ahli Yaman terbabit.

#Bersambung…

♡Besarkanlah Allah swt dihari kebesaran ini serta banyakkan bersyukur padaNya atas nikmat iman dan Islam yang kita kecapi♡

🐊Ust naim

Klik link ini untuk    

http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   

Leave a comment