☆Tadabbur Kalamullah 29 Ramadhan 1445H☆

☆Tadabbur Kalamullah 29 Ramadhan 1445H☆

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” [Surah al-Baqarah 183]

#Saat ini, kita sudah berada di penghujung Ramadhan. Hari-hari terakhir yang sangat berat dirasai oleh orang beriman kerana terpaksa berpisah dengan bulan paling berkat dan paling istimewa daripada segala bulan yang lain.

#Bulan keberkatan, bulan kerahmatan, bulan keampunan sudah hampir menutup tirainya. Syaitan-syaitan hampir dilepaskan belenggunya, pintu neraka hampir dibuka kembali. Namun kita sebagai manusia, sangat teruja dengan kegembiraan syawal, sehingga hampir leka dengan kelebihan ramadhan yang masih bersisa ini.

#Demikianlah keadaan para ulamak salafussoleh, jika menjelang pemergian bulan Ramadhan, mereka merasa tersangat sedih dan duka. Mereka merasa sedih disebabkan kesempatan luar biasa itu tidak datang setiap hari atau setiap bulan. Mereka perlu berdoa keras supaya Allah memanjangkan usia mereka dan menyampaikan mereka kepada kesempatan emas tersebut. Dan mereka merasa sedih sebab belum tentu amalan yang mereka lakukan dengan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan, diterima oleh Allah swt sedangkan mereka sangat-sangat bersungguh melakukan ketaatan disepanjang Ramadhan.

#Semoga dengan pemergian Ramadhan pada kali ini, diharapkan memberi satu kekuatan dan latihan untuk kita terus istiqamah dalam melakukan amalan-amalan kebaikan. Oleh itu, sambutlah aidilfitri dengan kegembiraan yang berpada-pada, janganlah sampai menjadikan syawal sebagai hari balas dendam atas segala apa yang kita tahan selama sebulan ramadhan.

1. Kepada yang sentiasa hadir bertarawih di masjid surau sepanjang bulan ramadhan, teruskan usaha untuk berjemaah fardhu di luar bulan ramadhan setiap hari.

2. Kepada mereka yang berusaha berhenti merokok pada bulan ramadhan, teruskan usaha untuk berhenti terus daripada merokok.

3. Kepada yang selalu menahan diri dari mencarutpada bulan ramadhan, jagalah mulut dari perkataan-perkataan yang tidak berguna itu selepas ramadhan.

4. Kepada mereka yang istiqamah setiap malam bertarawih,berwitir dan berqiamullail di bulan ramadhan, teruskan dengan bangun pada setiap malam sepertimana mencari Lailatulqadar di bulan ramadhan.

5. Kepada mereka yang menahan diri dari berdatingdengan bukan mahram di bulan Ramadhan, teruskan usaha itu untuk membina pertalian suci diantara dua hati yang bukan mahram dengan pernikahan yang halal.

6. Kepada mereka yang menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang menjurus kepada dosa semasa dibulan Ramadhan, maka jadikan Syawal dan bulan-bulan seterusnya sebagai permulaan kepada pengakhiran dosa.

7. Kepada mereka yang berusahamenutup aurat di bulan Ramadhan, teruskan usaha suci itu dibulan-bulan seterusnya agar ia menjadi kebiasaanmu kelak dengan selamanya menutup aurat.

#Dan begitulah selanjutnya, jadikanlah Ramadhan sebagai latihan untuk kita menjadi insan yang lebih berguna dan lebih bertaqwa.

♡Salam perpisahan dengan Ramadhan penuh kesedihan dan kesyahduan. Jika panjang umur, insya Allah bertemu lagi ditahun hadapan. Salam Aidilfitri 1445H♡

🐊Ust naim

Klik link ini untuk    

http://bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:   

Leave a comment