Bisikan Ruh Ramadhan 4

Bisikan Ruh Ramadhan 4

Bulan Ramadhan adalah bulan Al Quran. Bulan yang sayugianya Al Quran didekati dan dihampiri. Al Quran sewajarnya basah di lidah dan bercahaya di hati.

Allâh Azza wa Jalla berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ {البقرة:١٨٥}

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.

(Al Baqarah :185)

قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ ﴿١٥﴾ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

{المائدة: ١٥-١٦}

Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allâh, dan Kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allâh memberikan petunjuk kepada orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allâh mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

(Al Mâidah :15-16)

Namun, Rasulullah ‎ﷺ pernah mengadu kepada Allâh Azza wa Jalla tentang perihal kaum musyrikin yang tidak memperdulikan serta menjauhi Al Quran. Mereka berpaling dari al-Qur’an dan tidak mahu mendengar ayat-ayat yang Baginda ‎ﷺ bacakan kepada mereka.

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا {الفرقان:٣٠}

Berkatalah Ar Rasul, “Ya Rabbku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.”

(Al Furqân :30)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan,

“Allâh Azza wa Jalla memberitakan tentang Rasul dan Nabi-Nya Muhammad ‎ﷺ yang berkata, ‘Ya Rabbku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Qur’an sesuatu yang tidak dipedulikan (diabaikan dan ditinggalkan).’ Dan hal itu disebabkan kaum musyrikin tidak mahu mendengar dan menyemak Al Qur’an sebagaimana yang Allâh Azza wa Jalla ceritakan dalam firman-Nya:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ {فصلت:٢٦}

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengarkan al-Qur’an ini dengan sungguh-sungguh dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan mereka.”

(Fussilat :26)

Itulah fenomena Hajrul Quran (هجر الفرآن) iaitu sikap menjauhi dan tidak memperdulikan akan ayat-ayat Allah. Bahkan ianya fenomena yang masih berlaku sehingga kini di kalangan ummat ini.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, ( Al Fawaid ) :

” Hajrul Qur’an ( Menjauhi Al Quran ) itu ada beberapa bentuk :

Pertama, tidak mendengarkan, tidak mengimani, dan tidak memperhatikannya.

Kedua, tidak mengamalkannya dan tidak menegakkan apa yang dihalalkan dan diharamkannya walaupun seseorang itu membacanya dan mengimaninya.

Ketiga, tidak menjadikannya sebagai hukum dan tidak berhukum dengannya, baik yang berkaitan dengan prinsip-prinsip agama mahu pun cabang-cabangnya, serta meyakini bahwa al-Qur’an tidak memberi faedah keyakinan dan petunjuk-petunjuknya tidak mengandungi ilmu.

Keempat, tidak mentadabburinya, tidak memahami maknanya, dan tidak mengetahui apa yang diinginkan darinya oleh yang menurunkannya (iaitu Allah ta’ala).

Kelima, tidak menjadikannya sebagai ubat penawar untuk segala macam penyakit hati dan mencari ubat penyakit hati tersebut dengan selainnya, serta tidak mengambilnya sebagai ubat penawar .

Kesemuanya ini termasuk dalam pengertian firman Allah ta’ala,

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا {الفرقان:٣٠}

Berkatalah Rasul, “Ya Rabbku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.”

(Al Furqân :30)

Justeru, sayugianya kita bermuhasabah dengan sikap kita terhadap Al Quran di bulan Ramadhan ini.

ABi

Leave a comment