Bisikan Ruh Ramadhan 3
Amalan Tadarus di Bulan Ramadhan.
Membaca al-Quran berkumpulan secara tadarus (yakni saling membaca dan menyemak bacaan al-Quran) adalah tsabit dari Nabi ﷺ dalam hadisnya
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
“Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”.
(HR Muslim, 2699)
Hal ini kerana Rasulullah ﷺ sendiri bertadarus bersama Jibril di malam hari bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:
كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Rasulullah ﷺ adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda ﷺ setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.
(HR al-Bukhari, 3220)
Walau bagaimanapun, tiada perintah atau arahan yang khusus daripada syarak yang berbentuk wajib supaya kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan. Oleh yang demikian, semua galakan dan saranan untuk mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan adalah sunat dan tidak sampai menjadi suatu kewajiban. Amalan memperbanyakkan bacaan dan mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan merupakan adat kebiasaan para sahabat, tabi’in dan para ulama salaf.
Dari sudut pahala, apabila kita membaca dan mempelajari al-Quran secara bersama –yakni seorang membaca dan yang lain mendengar-, semua yang terlibat akan mendapat pahala.
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿الأعراف: ٢٠٤﴾
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. (204)
(Al A’raf: 204)
Yang membaca akan mendapat pahala tilawah sekalipun bacaannya tidak lancar. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi ﷺ dalam hadisnya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Orang yang mahir membaca Al-Qur`an akan bersama para malaikat yang mulia, sedangkan orang yang membaca (Al-Qur`an) dengan terbata-bata dan mengalami kesulitan dalam membacanya, maka dia akan mendapatkan dua pahala.
(HR. Muslim)
Termasuk dalam pengertian tadarus ialah membaca Al Quran serta berusaha memahaminya melalui tadabbur isi kandungan Al Quran dan mempelajarinya melalui ilmu tafsir Al Quran.
كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿ص: ٢٩﴾
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.
(Shaad: 29)
Dengan mentadabbur dan belajar ilmu tafsir Al Quran, maka tujuan dan manfaat sebenar Al Quran diturunkan kepada manusia akan dapat tercapai.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ﴿البقرة: ١٨٥﴾
(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).
(Al Baqarah: 185)
Justeru, usahlah dibiarkan bulan Ramadhan yang merupakan bulan Al Quran ini disambut tanpa diisi dengan tadarus Al Quran. Baikilah sikap dan hubungan dengan Al Quran, nescaya hubungan dengan Allah ta’ala juga akan semakin bersinar.
ABi
