
Menjauhkan Diri Dari Ruang Tohmahan
=====
1. Di dalam kitab Ihya Ulumuddin, al-Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa seorang muslim seharusnya menjaga dirinya dari berada di ruang yang boleh membawa tohmahan buat dirinya. Atas sebab itu Saidina Zaid bin Thabit pernah menegaskan:
إِنِّي لَأَكْرَهُ أَنْ أُرَى فِي مَكَانٍ يُسَاءُ بِيَ الظَّنُّ
“Aku benci untuk duduk ditempat yang kalau manusia melihatku, mereka akan berburuk sangka terhadapku.” (Syu’ab al-Iman, no: 6383)
2. Malah atas sebab itulah Saidina Umar menegaskan bahawa andai sekiranya kita sendiri yang membuka ruang tohmahan tersebut, maka kita tidak boleh menyalahkan manusia yang memandang buruk terhadap diri kita. Kata Umar:
مَنْ أَقَامَ نَفْسَهُ مَقَامَ التُّهَمِ فَلَا يَلُومَنَّ مَنْ أَسَاءَ بِهِ الظَّنَّ
“Barang siapa yang berada di kawasan yang menyebabkan dia ditohmah (dituduh, dipandang rendah), maka janganlah dia mencerca orang yang berburuk sangka kepadanya.” (Abu Daud, Kitab al-Zuhd)
3. Dan salah satu tempat yang mendedahkan seorang muslim kepada tohmahan adalah majlis hiburan dan nyanyian. Pernah suatu ketika Saidina Abdullah bin Umar berjalan bersama dengan Nafi’. Lalu beliau terdengar siulan pengembala kambing lantas beliau berpaling dari laluan tersebut. Kata Nafi:
سمع بن عمر صوت زمارة راعي قَالَ فَجَعَلَ إِصْبَعَيْهِ فِي أُذُنَيْهِ وَعَدَلَ عَنِ الطَّرِيقِ
“Ibn Umar terdengar siulan (seruling berlagu) seorang pengembala, lantas beliau menutup telinga dengan tangannya dan berpaling dari jalan tersebut.” (Sahih Ibn Hibban).
4. Tindakan menjauhkan diri dari unsur hiburan tersebut adalah langkah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah. Perkara ini difahami dari penjelasan Ibn Umar kepada Nafi yang menyebutkan:
هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يفعله
“Beginilah yang aku perhatikan bagaimana Rasulullah melakukan sedemikian.” (Sahih Ibn Hibban)
5. Kaum muslimin yang memelihara diri mereka dari unsur hiburan yang melalaikan ini akan mendapat kedudukan yang Istimewa di sisi Allah. Abu Nuaim meriwayatkan:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: أَيْنَ الَّذِينَ كَانُوا يُنَزِّهُونَ أَنْفُسَهُمْ وَأَسْمَاعَهُمْ عَنِ اللهْوِ وَمَزَامِيرِ الشَّيْطَانِ؟ أَدْخِلُوهُمْ فِي رِيَاضِ الْجَنَّةِ
Sesungguhnya Allah akan menyeru pada hari kiamat: Di manakah mereka yang menyucikan dirinya dan pendengarannya dari perkara yang sia-sia dan seruling-seruling syaitan? Masukkan mereka ke dalam taman-taman syurga.” (Hilya al-Auliya, 3/151)
6. Menurut Ibn Battal, al-Imam Malik sangat bertegas dalam perkara hiburan yang melalaikan manusia. Ketegasan tersebut adalah bagi menutup pintu kerosakan yang lebih besar. Kata Ibn Battal:
فإن ذلك من باب قطع الذرائع، وخشية التطرق إلى كثرة الشغل عن طاعة الله
“Seseungguhnya (ketegasan itu) adalah pada bab menutup ruang-ruang (yang membawa kerosakan). Ini kerana kebimbangan akan membuka kesibukan (kelalaian) yang menjauhkan manusia dari mentaati Allah. (Syarah Sahih al-Bukhari, 9/72)
7. Oleh yang demikian, setiap muslim hendaklah memelihara dirinya dari membuka ruang yang membawa tohmahan dan fitnah kepada dirinya sendiri. Kita tidak mahu kelonggaran yang sedikit menjadi dalil buat mereka yang melihatnya di kemudian hari.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
