☆Tadabbur Kalamullah 25 Ramadhan 1445H☆
لَیۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَیۡرࣱ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرࣲ
“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan” [Surah al-Qadr 3]
#Sepanjang bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dari awal hingga akhir, malah setiap detiknya mengandungi rahmat dan keberkatan yang besar, serta amal soleh yang dilakukan akan membawa kebaikan yang besar dan pahala yang lumayan kepada seseorang hamba. Oleh itu, hak untuk kita melakukan pelaburan di bulan ini amat-amat berbaloi.
#Sepanjang Ramadhan dijanjikan pembebasan dan keampunan, rahmat dan kebaikan, bulan yang di dalamnya dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. Amalan baik dilipatgandakan, bulan yang dikabulkan doa, dinaikkan darjat, dan diampuni dosa-dosa serta terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
#Kedahsyatan bulan Ramadhan ini menyebabkan ia ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman dan sangat dirayu-rayu agar diterima amalan yang dilakukan.
#Berkata Mu’alla bin Al-Fadl: “Mereka pernah berdoa kepada Allah swt selama enam bulan agar diizinkan sampai ke bulan Ramadhan, kemudian mereka berdoa kepadaNya selama enam bulan lagi agar menerimanya (amalan) dari mereka”.
#Para salafussoleh sangat bersungguh dalam menghidupkan Ramadhan dengan ketaatan. Diriwayatkan ketika pemerintahan Sayidina Umar r.a, beliau pernah melantik Sayidina Ubai r.a menjadi imam tarawih dan beliau membaca dengan bacaan yang panjang sehingga ada sahabat yang mula memegang tongkat. Qiam ini selesai dilaksanakan sehingga terbit fajar.
#Kisah ini diceritakan oleh al-Sa’ib ibn Yazid:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ، وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ
“Sayidina Umar ibn al-Khattab telah memerintahkan Sayidina Ubai ibn Kaab dan Sayidina Tamim al-Dari untuk menjadi imam (mendirikan tarawih) sebanyak sebelas rakaat. Dan setiap mereka membaca ratusan ayat sehingga ada dalam kalangan kami yang mula bertongkat disebabkan panjangnya qiam mereka. Dan kami tidak beredar melainkan setelah beberapa ketika hampir waktu fajar (subuh). (Sunan al-Kubra li al-Baihaqi)
#Begitulah semangat juang para sahabat dan ulamak terdahulu menghidupkan bulan Ramadhan dari awalnya hingga ke garisan penamat dengan qiamullail dan amal soleh kerana memahami secara mendalam kelebihan dan keistimewaan bulan barakah ini, lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir Ramadhan.
#Kerana itulah, para ulamak salafussoleh menjelang hari-hari terakhir berlalunya Ramadhan, begitu berat dan sedih mereka rasakan. Saat malam-malam terakhir Ramadhan, pada masa Rasulullah saw, Masjid Nabawi penuh sesak dengan manusia yang datang untuk beriktikaf. Dan di sela-sela iktikafnya, mereka terkadang menangis teresak-esak, karena Ramadhan akan segera berlalu meninggalkan mereka. Hati mereka sedih dan pilu.
#Berbeza dengan kita, yang gembira dan sibuk dengan kemeriahan menyambut raya, hingga meninggalkan qiam di hujung-hujung Ramadhan. Melupakan malam lailatulqadar dan kelebihannya. Insafilah!!
♡Semoga Allah menemukan kita dengan Lailatulqadar dalam keadaan kita sujud kepadaNya. Aamiiin♡
🐊Ust naim
Klik link ini untuk
http://bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
