الأصل في المعاملات التحريم..
“asal muamalat (zaman moden) adalah haram, (melainkan bila ada dalil yang mengharuskannya)”
Bila Prof Daud Bakar menyatakan pandangan ini, saya fikir ia hanya sarkastik. Sebab kaedah umum yang diperkenalkan sarjana Islam adalah:
الأصل في الأشياء الإباحة
“Asal setiap sesuatu adalah harus.”
Tapi bila lihat perkembangan muamalat (bisnes) hari ini, saya lihat ada betulnya juga.
Bila berpegang kepada setiap sesuatu itu harus, kita cenderung untuk menyertai apa jua bentuk bisnes tanpa kajian yang mendalam. Kajian tertumpu hanya kepada berapa banyak keuntungan yang bakal diperoleh.
Bila dah join sesuatu bisnes, baru terjumpa petunjuk-petunjuk negatif mengenainya. Waktu itu susahlah kita nak terima kenyataan.
Bila kita dah jadi sebahagian dari ejen bisnes tersebut, kita akan pertahankan keharusannya. Mula cari segala macam hujah untuk memujuk diri dan mempertahankan diri.
Ada yang dah menyerahkan seluruh punca pendapatan untuk bisnes terbabit. Berhenti kerja, abaikan bisnes lain kerana nak fokus bisnes tersebut. Sudah tentu sukar untuk kita meninggalkannya.
Tapi kalau daripada awal kita dah alert tentang masalah bisnes tersebut, tentu kita tak akan join dari awal lagi. Banyak lagi pilihan bisnes lain yang kita boleh ceburi.
Melepaskan sesuatu yang kita miliki jauh lebih sukar berbanding melepaskan peluang yang belum kita perolehi.
Oleh kerana itu, kaedah Prof Daud Bakar di atas amat realistik dengan zaman sekarang. Membuatkan umat Islam lebih berhati-hati dalam memilih sesuatu bisnes.
Moga Allah beri kekuatan kepada orang yang sudah terjebak dengan bisnes syubhah untuk membuat keputusan yang sukar zaman kegawatan sekarang..
(Alang Ibn Shukrimun)
24 Jumadal Ula 1442
8 Januari 2020