QADHA SOLAT SELEPAS SUBUH

QADHA SOLAT SELEPAS SUBUH

SOALAN :

Saya ada beberapa solat lima waktu yang hendak diqadha.

Soalan saya adakah boleh solat qadha dilakukan selepas subuh atau selepas asar?

JAWAPAN :

Bermula larangan solat selepas solat subuh dan selepas solat asar itu ialah solat sunat mutlak dan solat sunat yang tidak mempunyai sebab.

Ada pun solat yang wajib atau solat sunat yang mempunyai sebab atau solat qadha maka tidak termasuk dalam larangan.

Oleh kerana itu harus qadha solat yang fardu dan yang sunat selepas mengerjakan solat subuh dan asar.

Tersebut pada Kitab I’anah At-Talibin :

ولأنه قضى بعد الشمس ركعتي الفجر، وبعد العصر الركعتين اللتين بعد الظهر. رواهما مسلم وغيره

Artinya : “Dan kerana bahawasanya Nabi saw telah qadha solat sunat subuh selepas matahari telah naik dan solat sunat zuhur selepas solat fardu asar. Telah meriwayatkan akan keduanya oleh Imam Muslim dan lainnya.”

Apabila Nabi saw membolehkan qadha solat sunat selepas subuh dan selepas asar nescaya qadha solat yang fardu itu lebih utama.

Dan berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi :

وخمسة أوقات لا يصلى فيها إلا صلاة لها سبب . بعد صلاة الصبح حتى تطلع الشمس، وعند طلوعها حتى تتكامل وترتفع قدر رمح، وإذا استوت حتى تزول، وبعد العصر حتى تغرب الشمس وعند الغروب حتى يتكامل

وهذا كله في صلاة لا سبب لها وأما ما لها سبب فلا تكره، والمراد بالسبب: السبب المتقدم أو المقارن، فمن ذوات الأسباب: قضاء الفوائت كالفرائض والسنن والنوافل التي اتخذها الانسان وردا. إهـ

Artinya : “Lima waktu tidak dikerjakan solat padanya melainkan solat yang mempunyai sebab yaitu selepas solat subuh sampai terbit matahari dan ketika terbit matahari sehingga sempurna terbit matahari dan naik matahari tinggi sedikit dari kaki langit dan ketika matahari berada ditengah langit dan selepas solat asar sehingga tenggelamnya dan ketika sedang tenggelam sehingga sempurna tengelam sekeliannya.

Dan sekeliannya ini ialah pada solat yang tiada bersebab. Dan ada pun solat yang ada mempunyai sebab maka tidak dimakruhkan. Dan yang dikehendaki dengan sebab itu ialah sebab yang terdahulu atau sebab yang menyertai. Maka setengah dari solat yang bersebab itu ialah segala solat qadha yang luput seperti solat lima waktu dan segala solat sunat yang telah dibiasakan oleh seseorang melakukannya.” (Kitab Kifayatul Akhyar)

Kesimpulannya harus mengerjakan solat qadha yang fardu selepas solat subuh dan selepas solat asar dan begitu juga harus qadha solat sunat yang tertinggal kerana uzur.

Tidak dimestikan qadha solat lima waktu itu mengikut waktunya tetapi afdhal mengikut waktu oleh itu sah qadha solat subuh dalam waktu asar dan solat asar dalam waktu subuh dan semisalnya.

Begitu juga sah qadha solat sunat yang waktunya malam pada siang hari seperti qadha sunat witir pada waktu petang dan seumpamanya.

wallahua’lam

ustaz azhar idrus

www.facebook.com/408790339921399/posts/810286129771816/

Leave a comment