MENYUKAI PELAKU MAKSIAT
SOALAN :
Ada setengah orang yang terang-terangan menunjukan perlakuan dosa di media sosial seperti menayangkan badan yang terdedah auratnya atau atau melakukan gerakan badan yang haram seperti menggoyangkan dada dan punggung atau mengeluarkan perkataan yang mungkar seperti lucah atau merendah-rendahkan hukum Islam yang mana perlakuan tidak senonoh dan keji ini disukai pula oleh sebahagian peminat atau orang awam sehingga setengahnya turut memberi sokongan moral kepada pelaku maksiat seperti itu.
Apakah hukumnya menyokong dan menyukai perlakuan haram seperti itu?
JAWAPAN :
Barang siapa yang suka dengan satu perbuatan maka dia dikira redha dengan akibat dari perbuatan tersebut.
Oleh itu siapa yang menyukai dengan perbuatan yang maksiat nescaya dia juga menyukai akibat dari perbuatan maksiat tersebut kerana qaedah yang telah ditetapkan yang berbunyi :
الرضا بالشيء رضا بما يتولد منه
Artinya : “Menyukai dengan suatu perkara ialah menyukai dengan hasil yang terbit daripadanya.”
Dan orang yang menyokong perbuatan maksiat itu adalah dikira menolong maksiat maka jika maksiat itu dosa besar nescaya yang menyokongnya juga berdosa besar.
Tersebut pada Kitab Al-Is’ad Ar-Rafiq :
و(منها) الاعانة على المعصية (اي على معصية) من المعاصي الله تعالى بقول او فعل او غيره ثم ان كانت المعصية كبيرة كانت الاعانة عليها كذالك كما في الزواجر .
Artinya : “Dan setengah daripada yang haram itu menolong atas satu perkara maksiat dari segala maksiat terhadap Allah Taala dengan perkataan atau perbuatan atau lainnya. Kemudian jika adalah maksiat itu dosa besar nescaya adalah menolong atasnya itu juga dosa besar sebagaimana tersebut pada Kitab Az-Zawajir.”
Dan tidak kira samada sokongan dan pertolongan ke atas maksiat itu sedikit atau banyak hukumnya tetap haram.
Berkata Syeikh Khtaib Syarbini :
من اعان على معصية ولو بشطر كلمة كان شريكا فيها
Artinya : “Barang siap menolong atas satu perkara maksiat walau pun dengan sepatah perkataan nescaya dia berkongsi sama pada dosanya.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)
Dan berkata Syeikh Ibnu Hajar :
الْكَبِيرَةُ الثَّانِيَةُ وَالثَّالِثَةُ وَالسِّتُّونَ : الرِّضَا بِكَبِيرَةٍ مِنْ الْكَبَائِرِ أَوْ الْإِعَانَةُ عَلَيْهَا بِأَيِّ نَوْعٍ كَانَ
Artinya : “Dan dosa besar yang keenam puluh dua dan keenam puluh tiga itu ialah menyukai dengan dosa besar yaitulah satu dosa besar pula atau menolong atas dosa besar dengan apa cara sekali pun.” (Kitab Az-Zawajir”
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
