☆Tadabbur Kalamullah 5 Rabiul Awwal 1442H☆
قُلۡ هُوَ لِلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ هُدࣰى وَشِفَاۤءࣱۚ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman” [Surah Fussilat 44]
#Diantara penawar yang terhebat dan utama ialah al-Quran. Al-Quran yang di turunkan kepada baginda Rasulullah saw sebagai petunjuk bagi manusia di dalam meniti jalan keselamatan di dunia dan akhirat, juga merupakan ubat penawar bagi penyakit hati serta penyakit zahir.
#Perlu kita ketahui bahawa al-Quran adalah penawar dan tidaklah Allah menurunkan dari langit sesuatu penawar yang paling bermanfaat dan paling mujarab di dalam menghilangkan penyakit zahir dan batin selain daripada al-Quran disamping berdoa kepadaNya. FirmanNya:
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلۡقُرۡءَانِ مَا هُوَ شِفَاۤءࣱ وَرَحۡمَةࣱ لِّلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَا یَزِیدُ ٱلظَّـٰلِمِینَ إِلَّا خَسَارࣰا
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua” [Surah al-Isra’ 82]
#Ini memahamkan kita bahawa dalam usaha membendung penularan wabak covid-19 yang sedang bermaharajalela, sepatutnya kita sebagai seorang muslim dapat menjadikan al-Quran sebagai penawar dan pelindung diri kita, keluarga dan sahabat handai dari penyakit berjangkit ini.
#Janganlah kita berputus asa. Ketahuilah bahawa setiap penyakit ada ubatnya dan tidaklah Allah takdirkan sesuatu penyakit yang menimpa melainkan Allah juga yang mendatangkan penawarnya.
#Syaikh Ahmad bin Abdul Karim al-Hasawi as-Syajjar, murid Imam al-Haddad dalam karangannya “Tatsbitul Fuad” yang menghimpun kalam nasihat dan wasiat gurunya itu menyebut mengenai (bacaan al-Quran) khususnya surah Yaasiin. Imam al-Haddad ada berpesan dengan katanya:
“Surah Yaasiin dan kalimah La Ilaha Illallah adalah penawar bagi segala sesuatu. Jika engkau payah untuk menghafal (membaca) surah tersebut dengan lengkap, maka bacalah sehingga ayat ke 9. Yaasiin adalah hati al-Quran, dan bagi orang beriman surah tersebut amat besar ertinya. Bahkan jika ada orang yang sakit, yang terpelosok, yang dipermalukan, yang jatuh, yang tertimpa musibah atau yang mengharapkan kasih sayang, maka kepadanya selalu dikatakan: “Hendaklah engkau membaca Yaasiin untuk mendapat lindungan Ilahi.” Demikian besar dan pentingnya kedudukan Yaasiin bagi orang beriman, dan mereka sesungguhnya amat memuliakannya, bahkan hal ini berterusan sehinggalah sekarang”.
#Syaikh Hamaami Zaadah rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, Tafsir Surah Yaasiin, menyatakan, antara lain: “..Di mana sahaja surah Yaasiin ini dibaca atau ditafsir (dikaji dan dipelajari), Allah swt akan mengangkat daripada mereka bala bencana, kemarau, kegawatan ekonomi (kenaikan harga barangan dan inflasi), thaun, penularan wabak dan penyakit, demi kehormatan (kemuliaan) surah ini….”
#Ini menunjukkan al-Quran adalah penawar dan rahmat dalam memperolehi pelindungan Allah daripada wabak dan musibah. Maka, hendaklah kita memperbanyakkan membaca al-Quran samada surah Yaasiin, surah al-Kahfi, surah al-Mulk, Ayatul kursi, surah al-Ikhlas atau keseluruhan al-Quran disamping berusaha memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian agar menjadi penawar zahir dan batin serta diangkat musibah yang sedang melanda ini.
#Selain itu, banyakkan berdoa agar Allah selamatkan kita daripada musibah ini. Sabda Nabi saw: “Doa akan memberikan kemanfaatan dari musibah yang telah turun dan dari musibah yang belum turun. Maka wajib bagi kalian wahai hamba-hamba Allah untuk berdoa” (HR al-Hakim)
♡Berdampinglah dengan al-Quran dan jadikannya bacaan paling utama dalam hidup kita♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
