Tadabbur Kalamullah 24 Safar 1442H

☆Tadabbur Kalamullah 24 Safar 1442H☆

وَلَا تَمۡشِ فِی ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالࣲ فَخُورࣲ

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri” [Surah Luqman 18]

#Allah swt mengutus para nabi dan rasul untuk menyeru manusia kepada tauhid. Mereka juga mengajak manusia untuk berakhlak mulia. Diantara akhlak para rasul dan nabi yang menjadi perhiasan orang-orang soleh ialah tidak sombong atau bersifat tawadhuk.

#Allah swt mengingatkan kita semua agar tidak berjalan di bumi ini dengan perasaan angkuh, berlagak, sombong dan besar diri. Ini kerana Allah swt sangat membenci hambaNya yang berlagak sombong.

#Hamba Allah yang sebenarnya ialah mereka yang berjalan di bumi ini penuh sopan santun dan tawadhuk. Firman Allah swt:

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلَّذِینَ یَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنࣰا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَـٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَـٰمࣰا

“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini” [Surah al-Furqan 63]

#Oleh itu pastikan setiap langkah kita di bumi ini ialah diiringi dengan pahala dan rahmat Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

ألا أدلُّكُم على ما يُكَفِّرُ اللَّهُ بِهِ الخَطايا، ويزيدُ بِهِ في الحسَناتِ؟ قالوا: بلى يا رسولَ اللَّهِ قالَ: إِسباغُ الوضوءِ عِندَ المَكارِهِ، وَكَثرةُ الخُطى إلى المساجِدِ، وانتظارُ الصَّلاةِ بعدَ الصَّلاةِ

“Mahukah kalian aku tunjukkan kepada perkara yang dengannya Allah swt akan mengampunkan dosa dan menambahkan pahala? Lalu para Sahabat menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah saw!”. Rasulullah saw bersabda: “Menyempurnakan basuhan wudhuk pada kesusahan (kesejukan, sakit dsb), banyaknya langkahan menuju ke masjid (untuk solat berjemaah) dan menunggu solat yang seterusnya selepas menunaikan solat” (HR Ibnu Majah)

#Sabda Nabi saw lagi:

وكلُّ خطوَةٍ تخطوها إلى الصلاةِ صدَقَةٌ                                       

“Dan pada setiap langkah untuk menuju solat (berjemaah di masjid) adalah sedekah” (HR al-Bukhari dan Muslim)

♡Jauhi sifat sombong. Jangan sesekali berjalan di bumi ini dengan angkuh dan sombong kerana mengundang dosa dan kebinasaan. Bersifatlah dengan sifat tawadhuk dan pastikan langkah kaki kita dibumi ini sentiasa berpahala♡

🐊Ust naim

Telegram

Klik link ini untuk JOIN

bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1979

Leave a comment