Manusia Akhir Zaman : ARAK
Akan tiba satu zaman, manusia tidak mempedulikan hal ehwal halal dan haram sama ada dalam bentuk makanan atau minuman, harta yang diperoleh, kelakuan dan percakapan.
Perkara ini berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah RA maksudnya: “Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram? (Hadis Riwayat al-Bukhari no: 2083)
Hadis di atas mengisyaratkan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi awal umat Islam yang akan berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram.
Situasi ini merujuk kepada keadaan manusia akhir zaman yang lebih mementingkan sumber kewangan, kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. Terdapat jenis pekerjaan dan sumber pendapatan yang haram melibatkan ramai umat Islam yang terlibat seperti:
Pertama: ARAK
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maidah, ayat 90)
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram.” (Hadis Riwayat Ahmad, hadis no: 17995)
Justeru bagi seorang Mukmin hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT dengan menghindari diri daripada terlibat dengan apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan iaitu pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” (Hadis Riwayat Imam al-Tirmidzi, hadis no: 1295)
