☆Tadabbur Kalamullah 21 Safar 1442H☆
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفࣰا كَثِیرࣰا
“Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya” [Surah an-Nisa’ 82]
#Al-Quran mengandungi titah perintah dan larangan daripada Allah swt. Di dalamnya juga mengandungi kisah-kisah umat terdahulu yang dibinasakan dan juga kisah mereka yang terselamat serta dimuliakan. Al-Quran juga menceritakan kisah-kisah yang akan berlaku di masa hadapan yakni di alam akhirat. Al-Quran adalah Kalamullah yang datang daripada Allah swt bukannya ciptaan manusia, bahkan bukan juga rekaan Nabi Muhammad saw dan tiada sebarang kesilapan di dalamnya, bahkan sentiasa dipelihara ketulenannya oleh Allah swt.
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” [Surah al-Hijr 9]
#Janganlah kita menjadi umat yang hanya percaya kepada al-Quran tanpa sebarang usaha untuk memanfaatkan isi kandungannya. Kepercayaan kepada al-Quran dan beriman dengan kandungannya perlu disusuli usaha untuk mentadabbur, memahami, mengkaji serta mempraktikkan pengajarannya dalam kehidupan seharian.
#Orang yang beriman dengan al-Quran sentiasa memastikan dirinya untuk membacanya pada setiap hari, berusaha memahaminya dan bertindak mengamalkannya. Inilah baru dinamakan ahli al-Quran.
#Berkata Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah berkenaan golongan ahli al-Quran: “Dan kerana itu, Ahli Quran ialah orang-orang yang memahaminya dan mengamalkan apa yang ada di dalamnya sekalipun mereka mungkin tidak menghafalnya di dalam hati. Adapun orang yang menghafal tetapi tidak memahaminya dan tidak mengamalkan apa yang ada di dalamnya, maka dia tidaklah termasuk Ahli al-Quran, sekalipun dia dapat menegakkan hurufnya seperti meluruskan anak panah. Adapun sekadar membaca al-Quran tanpa pemahaman dan tadabbur, maka hal itu dapat dilakukan oleh semua orang baik orang yang bertaqwa dan orang yang fajir (jahat), orang yang mukmin mahupun orang yang munafik” (Lihat: Adh-Dhau’ al-Munir ‘ala at-Tafsir)
♡Bacalah al-Quran dengan difahami maksudnya dan tujuan penurunannya. Jadikanlah al-Quran sebagai panduan hidup yang utama. Pastikan setiap hari kita membaca al-Quran, mentadabbur, mempelajari tafsirnya dan mengamalkannya♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
