Tadabbur Kalamullah 18 Safar 1442H

☆Tadabbur Kalamullah 18 Safar 1442H☆

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

“Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan” [Surah an-Nisa’ 4]

#Berkata Imam Ibnu Kathir rahimahullah: “Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan akad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim)

#Mas kawin adalah pemberian wajib seorang lelaki kepada seorang perempuan. Namun begitu Nabi saw mengatakan bahawa sebaik-baik mahar (mas kawin) ialah yang paling mudah.

#Daripada Sayidina ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda:

خَيْرُ الصَّدَاقِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah”.

#Dalam riwayat Abu Daud dengan lafaz:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik nikah adalah yang paling mudah.” (HR Abu Daud dan al-Hakim)

#Hadis ini menunjukkan bahawa mahar yang paling bagus dan menjadi mahar terbaik adalah mahar yang paling mudah untuk dipenuhi.

#Mari kita hayati kisah di zaman Nabi saw berkaitan mahar yang mudah dan berkat. Daripada Sayidina Sahl bin Sa’ad r.a, baginda berkata:

أَتَتِ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مَا لِى فِى النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ. فَقَالَ رَجُلٌ زَوِّجْنِيهَا. قَالَ: أَعْطِهَا ثَوْبًا. قَالَ لاَ أَجِدُ. قَالَ: أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ. فَاعْتَلَّ لَه. فَقَالَ: مَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. قَالَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ

“Seorang perempuan menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi saw kerana Allah swt. Rasulullah saw bersabda: “Aku tidak berhajat kepada perempuan.” Lalu seorang lelaki berkata: “Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu.” Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itu menjawab dia tidak memilikinya. Baginda bersabda: “Adakah ayat-ayat al-Quran yang engkau hafal?” Dia menjawab: “Ada sekian dan sekian.” Baginda pun bersabda: “Aku kahwinkan engkau dengan perempuan itu dengan ayat-ayat al-Quran yang ada padamu.” (HR al-Bukhari)

*Di dalam satu riwayat Muslim, disebutkan:

انْطَلِقْ فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا فَعَلِّمْهَا مِنْ الْقُرْآنِ

“Pergilah, aku telah menikahkanmu dengan wanita itu. Ajarkanlah dia ayat daripada al-Quran” (HR Muslim)

♡Perkahwinan yang sederhana, tidak membebankan dan mas kahwin yang mudah, nescaya akan diberkati dan dirahmati Allah swt pernikahan itu. Ayuh, mudahkan dan jangan dipersulitkan♡

🐊Ust naim

Telegram

Klik link ini untuk JOIN

bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1973

Leave a comment