BRITISH, HAROLD MAC MICHAEL, ZIONISME DAN TANAH PALESTIN: Iktibar Untuk Bangsa Melayu & Pribumi
Sir Harold MacMichael dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin dalam tahun 1938. Inilah tugasnya yang amat penting bagi kerajaan Inggeris, sebelum meneruskan tugasannya sebagai wakil Kerajaan Inggeris bagi mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu terhadap pembentukan Malayan Union.
Di masa pentadbiran beliau di sana, banyak peristiwa-peristiwa penting telah berlaku. Sumber Parlimen British mencatatkan dalam tahun 1928, penduduk Yahudi (imigran) hanyalah 17 peratus dari penduduk Palestin, namun mereka telahpun mempunyai kepentingan strategik dengan menyumbang biaya pentadbiran British sebanyak 44 peratus, jauh lebih tinggi dari Arab Palestin. Dalam tahun 1918-1939, kebanyakan suntikan modal ini datang dari suntikan modal Yahudi sedunia dalam cita-cita mereka untuk menubuhkan negeri Israel yang bakal menggantikan Palestin.
Penduduk Yahudi bertambah dari 24,000 dalam tahun 1882 sehingga menjadi 400,000 dalam tahun 1939, iaitu sepertiga dari penduduk Palestine hingga pembentukan Israel dalam tahun 1948. Ancaman kenegaraan ini telah menyebabkan para pemimpin Arab Palestin menyuarakan kebimbangan mereka, antaranya melalui akhbar tempatan, Al-Jamiyah Al-Islamiah, keluaran Ogos 21 dan September 2, 1932, “…oleh kerana Yahudi itu peka, dan pemimpin kita tidur, puak Yahudi membeli tanah-tanah kita,” dan “…orang Arab tidak akan mengiktiraf penjualan ini sebagai sah, walaupun Yahudi mempunyai geran tanah tersebut… apabila keadaan politik berubah, orang Arab akan meminta tanah-tanah tersebut dikembalikan”. Petikan dari al-Jamiah al-Arabiah, 16hb September, 1932, “… tidak dinafikan, penjualan tanah (kepada Yahudi) inilah mengancam masa hadapan Palestin.” al-Difa’ pula mencatatkan dalam bulan November 5, 1934: “…orang Arab khuathir akan masa hadapan dimana dibayangkankan anak cucu-cicitnya merempat di negeri sendiri, kerana hilang tanah airnya…”.
Dari tahun 1931, pemimpin-pemimpin Zionis Yahudi mahukan supaya tanah-tanah pemilikan Yahudi itu bergabung untuk membentuk nukleus wilayah Zionis; dan mereka menggantikan tanah Arab dengan tanah-tanah lain jauh dari tanah kaum Yahudi. Arab kehilangan tanah kepada Yahudi kerana faktor ekonomi, mereka tidak dapat bersaing dengan kepandaian kaum Yahudi dalam perniagaan dan lain-lain sebab. Sebelum Perang Dunia Kedua, pembinaan institusi, lembaga-lembaga, persatuan-persatuan, perkembangan ekonomi, perkembangan kewangan dan pemilikan tanah telah memberikan keyakinan yang kuat pada kaum Yahudi Zionis untuk membentuk negeri merdeka Israel. Ia juga disertakan dengan pengembangan militer yang dilakukan secara senyap.
Perbezaan utama antara kaum Yahudi dan Arab ialah kesanggupan puak Yahudi Zionis, untuk masa yang singkat, meletakkan kepentingan kaum mereka melebihi kepentingan individu. Menjelang tahun 1939, kaum Arab di Palestin telah mula menyedari realiti ini, malangnya mereka tiada kecukupan dana untuk menghadapi ancaman kaum Yahudi, malahan tiada unsur-unsur penyatuan bangsa bagi menentang pergerakan kaum Yahudi yang mempunyai matlamat yang jelas. Asakan demi asakan yang datang dari pendatang-pendatang haram Yahudi secara beramai-ramai dengan tidak mempedulikan hak turun-temurun dan sensitiviti golongan pribumi Palestin (Islam dan Kristian) telah mencetuskan konflik-konflik yang hebat.
Rusuhan terjadi berulang-kali diantara masyarakat pribumi dengan pendatang-pendatang haram Yahudi pada tahun 1929M, 1933M, 1936-1938M. Konflik serta pertempuran antara masyarakat pribumi Palestin dengan pendatang haram Yahudi telah menerbitkan Suruhanjaya Peel yang mencadangkan supaya Palestin dibahagikan kepada dua bahagian; wilayah Arab dan wilayah Zionis Yahudi. Harold Mac Michael tampil menyokong cadangan suruhanjaya tersebut. British menghadkan pembelian tanah oleh Yahudi pada tahun 1939, kerana, “… pemilik tanah Arab perlulah dilindungi dari kebodohannya sendiri,”
Mac Michael telah berhubung dengan Dr Chaim Weisman, ketua Zionis Palestine mengenai Suruhanjaya Peel. Dalam surat terakhirnya kepada Kerajaan Inggeris, selaku Gabenor Palestine, dalam tahun 1944, “… kemasukan Yahudi yang tiada sekatan adalah berbahaya bagi imej kerajaan Inggeris, ia mengancam keselamatan Timur Tengah dan kaum Arab yang risau akan kebanjiran Yahudi…”, “… Saya mencadangkan pemisahan Yahudi dan Arab kepada negeri-negeri masing-masing. Penghijrahan Yahudi kedalam negeri Yahudi akan menjadi masalah mereka (Yahudi) sendiri …”
British memulangkan mandat mereka kepada Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1947 kerana mereka bersikap lepas tangan kepada dua kaum yang bertelagah itu; orang Arab tidak mahu diperintah Yahudi. Bangsa-Bangsa Bersatu yang terus meluluskan penubuhan Negara Israel di Palestin berdasarkan syarat pembahagian seperti yang dicadangkan serta berbagai syarat lain. Maka pada 14hb Mei 1948M lahirlah sebuah negara haram Israel di bumi Palestin. Malang bagi kaum pribumi Arab Palestin, selepas sahaja Israel disytiharkan sebagai negara berdaulat dan merdeka, sekelian syarat-syarat yang pada awalnya dipersetujui semuanya telah dicabuli. Malahan pucuk pimpinan negara haram Israel telah mengumumkan dasar pengluasan jajahan yang kemudiannya membawa kepada penaklukan seluruh wilayah Arab Palestin.
Dalam hal ini, apabila Perdana Menteri negara (haram) Israel yang pertama, iaitu David Ben Gurion membuat pengumumannya, beliau enggan mengisytiharkan sempadan Negara Israel dengan membandingkan keengganannya itu dengan apa yang pernah berlaku kepada 13 jajahan asal Amerika Syarikat yang juga enggan mengisytiharkan sempadan negara tersebut semasa deklarasi kemerdekaannya, iaitu bagi membolehkan mereka meluaskan jajahan Amerika Syarikat kemudiannya kepada 50 negeri daripada Lautan Atlantik ke Lautan Pasifik.
Dalam tahun 1968M, Moshe Dayan, Ketua Turus Angkatan Tentera Darat Yahudi pernah menyebut;
“Semenjak tempuh 100 tahun yang lalu, kaum kita telah memulakan proses pembentukan sebuah negara dan (pengumpulan semula) bangsa, dan meluaskannya, meningkatkan bilangan orang-orang Yahudi dan penempatan-penempatan tambahan yang dapat meluaskan sempadan negara ini. Jangan sesiapapun dari kalangan orang-orang Yahudi mengatakan bahawa proses ini telah tamat. Jangan sesiapapun mengatakan bahawa kita telah hampir sampai ke penghujung jalan.” ‘Law of Return’atau ‘Undang-Undang Kepulangan’ 1950M merupakan suatu contoh dasar negara (haram ) Israel yang zalim, iaitu dengan memberikan hak eksklusif kepada semua penganut agama Judaisme dari mana-mana ceruk rantau dunia hak kerakyatan secara otomatik, sedangkan penduduk pribumi Palestin diwajibkan memohon kerakyatan mereka dengan dikenakan berbagai syarat yang ketat.
Dalam hal ini Professor Israel Sahak, Pengerusi Liga Israel untuk Hak Sivil dan Kemanusiaan telah menegaskan: “Orang-orang yang dilahirkan dan sepanjang hayat mereka tinggal di Jerusalem tidak dibenarkan kembali ke bandar mereka sendiri jikalau mereka bukan dari kaum Yahudi. Namun jikalau esok seorang Belanda menganut Judaisme (sudah tentunya mengikut cara Judaisme Ortodoks), maka dia bukan sahaja akan dibenarkan tinggal di Jerusalem, malahan akan mendapat sebuah apartment di Ramat Eschkol (sebuah penempatan di Jerusalem yang dibina atas tanah yang dirampas daripada orang-orang Palestin).”
Percubaan tentera-tentera Arab untuk mematahkan penaklukan Yahudi dengan cepat dapat ditumpaskan dan seterusnya menekan pribumi Arab Palestin sehinggalah beratus-ratus ribu rakyatnya menjadi pelarian. Sedangkan mereka yang tetap tinggal di wilayah Palestin telah didedahkan kepada penderaan dan hambatan mental dan fizikal yang zalim, rakus dan berlanjutan sehingga ke hari ini. Berbekalkan pengalamannya di Palestin, kerajaan British percaya, Sir Harold Mac Michael lah orang yang layak bagi memaksa Raja-raja Melayu menyerahkan negeri-negeri mereka kepada British melalui Malayan Union, iaitu menukarkan status negeri-negeri perlindungan Inggeris kepada tanah jajahan Inggeris.
Oleh TunSuzana
Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1655521107960057&id=100005065508772
