TANDATANGAN RAJA-RAJA MELAYU UNTUK MALAYAN UNION:

TANDATANGAN RAJA-RAJA MELAYU UNTUK MALAYAN UNION: Persediaan Misi ‘Make Or Break’ British & Harold Mac Michael

Oleh TunSuzana

Dengan latarbelakang serta pengalaman Sir Harold Mac Michael sebagai bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Palestin, beliau telah diserahkan satu misi yang besar, iaitu memperolehi tandatangan sembilan Raja-Raja Melayu untuk menyerahkan kedaulatan dan kekuasaan para baginda kepada Raja England melalui pembentukan Malayan Union.

Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 dan pada 3 September 1945, tentera British telah mendarat di Pulau Pinang. Manakala pada 5 September 1945, pentadbiran tentera British bermula di Tanah Melayu. Pada 11 Oktober 1945, Sir Harold Mac Michael sebagai wakil kerajaan Britain tiba di Pelabuhan Swettenham dengan kapal Royalist.

Dalam tempoh antara 18 Oktober hingga 21 Disember 1945, Mac Michael telah menjelajah ke seluruh negeri Melayu bagi mendapatkan tandatangan baginda menyerahkan kuasa perundangan kepada kerajaan Britain. Pada 22 Januari 1946, kertas putih mengenai Malayan Union telah diisytiharkan untuk bacaan awam.

Allen dalam kajiannya berpendapat bahawa British sememangnya merancang untuk memindahkan kedaulatan Raja-raja Melayu kepada Raja Britain. Sehubungan itu, Allen menyimpulkan bahawa perjanjian Mac Michael merupakan suatu penaklukan ke atas Tanah Melayu. Sungguhpun tugas Mac Michael dilihat berjalan lancar, namun pada hakikatnya ia tetap dilaksanakan dengan penuh berhati-hati. British khuatir sekiranya terdapat Raja Melayu yang tidak bersetuju menurunkan tandatangan bermakna rancangan Malayan Union akan gagal.

Perhitungan itu dapat diukur daripada beberapa petunjuk. Sebagai contoh pihak British telah memperincikan pilihan orang yang paling layak menjalankan tanggungjawab untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. Mac Michael dipilih kerana pertimbangan pengalamannya di Transjordan dan Palestin.

Di pihak Mac Michael pula, untuk tidak menggagalkan segala perancangan yang telah diatur, dia meminta supaya perjalanannya dibekalkan dengan persiapan yang dapat meninggikan prestijnya sebagai wakil Raja Britain. Ini penting kerana baginya, Raja-raja Melayu sangat mengambil berat soal martabat dan ketinggian status.

Antara lain Mac Michael juga meminta dirinya dilantik sebagai ahli Majlis Privy bagi membolehkannya memakai gelaran Right Honourable.

Dia juga mahukan pelayarannya ke Tanah Melayu menaiki kapal perang Diraja yang besar. Ketibaannya di Tanah Melayu perlu disambut dengan upacara yang gemilang. Ini perlu dilakukan di Pelabuhan Swettenham dan bukannya di pelabuhan Pulau Pinang atau Singapura. Kediamannya di Kuala Lumpur mestilah di King House (sekarang Carcosa Seri Negara). Kenderaannya pula mestilah sebuah kereta salon yang besar dan warnanya bukan warna kenderaan tentera.

Untuk memastikan misi Mac Michael disempurnakan dengan baik, seorang wakil telah dihantar terlebih dahulu untuk meninjau sejauh manakah sokongan Raja-raja Melayu terhadap British. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh H.C Willan. Willan menjalankan tugasnya antara 8-20 September 1945.

Laporan Willan menampakkan keyakinan yang tinggi bahawa Raja-raja Melayu akan menyokong British memberi kelegaan kepada Mac Michael. Walau bagaimanapun Mac Michael tetap dibekalkan dengan satu senjata yang mustajab iaitu jangan mengiktiraf Raja-raja Melayu yang tidak mahu menurunkan tandatangan. Willan juga telah membekalkan satu senarai pengganti yang layak bagi sultan yang enggan bekerjasama.

Selain itu, MacMichael juga tidak berseorangan dalam menjalankan tugasnya. Dia ditemani oleh A.T. Newbolt. Kehadirannya menurut MacMichael amat membantu. Malah, Mac Michael menyebut dalam laporannya, tanpa Newbolt perjanjian dengan Raja-raja Melayu tidak mungkin dapat disempurnakan dengan lancar. Sungguhpun tugas Mac Michael dilihat berjalan lancar kerana misi mendapatkan tanda tangan semua Raja-Raja Melayu yang berdaulat diselesaikan kurang 2 bulan, iaitu pada 18 Oktober-21 Disember 1945, namun pada hakikatnya ia bukanlah suatu tugas yang mudah, baginda sekelian menurunkan tanda tangan dengan pelbagai respon, dilema, kegusaran dan kekalutan…

Bersambung …

Sumber: Dr Ahmad Kamal Ariffin bin Mohd Rus

Malayan Union dan Persekutuan 1948

www.facebook.com/1438625428/posts/10217797368472769/

Leave a comment