Hadith Untuk Kita Umat Akhir Zaman BIDA’AH MENURUT AHLISSUNNAH WAL JAMAAH

Hadith Untuk Kita Umat Akhir Zaman

BIDA’AH MENURUT AHLISSUNNAH WAL JAMAAH

Dari Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah radhiyallahu ‘anhu ‘Rasullullah ‎ﷺ telah menasihati kami dengan satu nasihat yang menggetarkan hati kami hingga menitik air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata,

“Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir, maka berilah pesanan (yang baik) kepada kami.’

Lalu baginda (‎ﷺ) pun bersabda, ‘Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada ALlah SWT dan mendengar serta memberi ketaatan (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umur-nya di antara kamu, pasti dia akan [dapat] melihat banyak [berlaku] perselisihan [sesama umat Islam]. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnah-ku dan sunnah para Khulafa ar Rasyidin al Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat petunjuk ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham kamu, dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bida’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida’ah itu adalah sesat.’

(Hadith rowahu Abu Dawud wa at-Tirmidzi)

Nota: Definisi Bida’ah Menurut Ulama Muktabar Ahlissunnah wal-Jamaah

Bida’ah menurut bahasa bererti sesuatu yang baru direka atau baru diadakan, sebelumnya tidak ada atau tidak pernah dilakukan, tanpa ada contoh atau asal yang seumpamanya sebelum itu dan tiada kebiasaan sepertinya.

Tidak kira sama ada dalam urusan ugama ataupun urusan lainnya. Adapun menurut istilah syara’ pula, para ulama pula seperti berikut:

i) Imam as-Syafi’e, Imam ‘Izzuddin Abdul ‘Aziz bin Abdussalam, Imam an-Nawawi dan lainnya berpendapat bahawa bida’ah adalah sesuatu yang baru, yang tidak ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah, atau belum wujud serta belum berlaku pada zaman Rasulullah ‎ﷺ. Tak kira sama ada ia adalah sesuatu yang tercela dan dikeji ataupun sebaliknya. Menurut pendapat ini, bida’ah itu menurut istilah syara’ ada yang baik dan terpuji (bida’ah hasanah) serta ada pula bida’ah yang buruk dan tercela (bida’ah dholalah).

ii) Pendapat lagi satu menyatakan bahawa bida’ah menurut istilah syara’ adalah tiap sesuatu yang baru, yang berlawanan dengan sunnah. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani, Imam Ibnu Hajar al-Haitami (ulama yang menghukum Ibnu Taimiyah), Imam Ibnu Rajab dan lain-lain.

Menurut pendapat ini, sesuatu yang baru itu, jika ia tidak bertentangan dengan sunnah, maka ia dinamakan bida’ah juga dari segi bahasa sahaja, iaitu semata-mata kerana ia adalah suatu yang baru direka atau baru diadakan. Manakala jika ia bertentangan dengan sunnah pula, maka ia adalah bida’ah menurut istilah syara’.

Secara asasnya, terdapat dua pendapat mengenai konsep bida’ah menurut ulama mazhab Ahli As-Sunnah Wal-Jama’ah.

Pendapat Pertama : Menurut Imam as-Syafi’e, Imam an-Nawawi, Imam ‘Izzuddin Abdul ‘Aziz bin Abdussalam dan lainnya, bida’ah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:

i) Bida’ah hasanah (yang baik atau bagus) atau bid’ah mahmudah (yang terpuji). Bida’ah hasanah atau bida’ah mahmudah adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad ‎ﷺ, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda [‎ﷺ], akan tetapi perkara tersebut masih termasuk di bawah dalil khas atau dalil am dari Al-Qur’an atau hadith Rasulullah ‎ﷺ atau atsar para Sahabat atau ijma’ ulama Islam.

ii) Bida’ah sayyi’ah (yang buruk) atau bida’ah dholalah (yang sesat). Bida’ah sayyi’ah atau bida’ah dholalah pula adalah suatu perkara yang dibuat oleh orang Islam selepas zaman Nabi Muhammad ‎ﷺ, di mana perkara tersebut tidak diketahui sama ada pernah berlaku atau pernah dibuat pada zaman Baginda, dan perkara itu menyalahi dalil dari Al-Qur’an, atau menyalahi dalil dari hadith Rasulullah ‎ﷺ, atau menyalahi atsar para Sahabat atau menyalahi ijma’ ulama Islam.

Dalam erti kata lain, ia menyalahi akan hukum-hukum syara’ dan menyalahi akan dalil syara’ yang khas mahupun dalil syara’ yang am. Adapun pengukur atau cara untuk mengetahui sama ada sesuatu perkara itu termasuk dalam kategori bida’ah hasanah ataupun bida’ah sayyi’ah adalah melalui mizan (timbangan) syara’. Apabila perkara yang baru itu termasuk dalam perkara yang dinilai baik oleh syara’, maka dengan sendirinya ia adalah bida’ah hasanah. Sebaliknya apabila perkara yang baru itu termasuk dalam perkara yang dinilai buruk oleh syara’, maka ia adalah bida’ah sayyi’ah.

Imam as-Syafi’e Rahimahullah berkata: ”Perkara-perkara yang baru diadakan itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Pertama : Perkara baru yang bercanggah dengan Al-Qur’an, atau As-Sunnah, atau atsar para Sahabat atau al-ijma’. Maka perkara seumpama ini adalah bida’ah yang sesat.”

Kedua : Perkara baru yang baik yang tidak bercanggah dengan satupun daripada Al-Qur’an, atau As-Sunnah, atau atsar para Sahabat atau al-ijma’. Ini adalah perkara-perkara baru yang tidak tercela.”

Imam Ibnu al-Atsir al-Jazari Rahimahullah berkata dalam kitab-nya an-Nihayah Fi Gharib al-Hadith Wa al-Atsar; ”Bida’ah ada dua: Bida’ah hidayah, dan bida’ah sesat.

Maka segala apa yang bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala serta Rasul-Nya ‎ﷺ adalah dalam kategori (bida’ah) yang tercela dan ditegah, dan segala apa yang termasuk di bawah umum perkara yang dianjurkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala serta Rasul-Nya ‎ﷺ pula adalah termasuk dalam kategori (bida’ah) yang terpuji.

Dan segala apa yang belum ada contoh seumpamanya (sebelum itu) seperti semua jenis perbuatan yang berupa kebajikan dan kemurahan hati serta semua jenis perbuatan yang makruf, adalah tergolong dalam kategori perbuatan yang terpuji.

Segala perbuatan (yang berupa kebajikan, kemurahan hati serta segala jenis perbuatan yang makruf) ini tidak mungkin tersenarai dalam perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syara’ (sungguhpun ia tidak berlaku di zaman Rasulullah ‎ﷺ) kerana Nabi ‎ﷺ telah menjanjikan baginya (segala perbuatan yang baik itu) ganjaran pahala.

Sabda Baginda ‎ﷺ: ”Barangsiapa yang merintis suatu sunnah hasanah dalam Islam, maka bagi-nya pahala amalan yang dirintis-nya itu serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkannya selepasnya.”

(Hadith rowahu Imam Muslim).

Imam Ibnu al-‘Arabi Rahimahullah berkata dalam kitab-nya ‘Aridhah al-Ahwazi Bi Syarhi Jame’ at-Tirmidzi bahawa bida’ah atau muhdats (sesuatu yang baru diadakan) itu tidak dikira tercela hanya kerana secara lafaznya ia digelar dengan perkataan bida’ah atau muhdats. Katanya: ”Adapun sesungguhnya dicela daripada perkara bida’ah itu ialah apa-apa yang menyalahi sunnah, dan dicela daripada perkara muhdats itu ialah apa-apa yang mengajak kepada kesesatan.”

#lebaikampung

www.facebook.com/1438625428/posts/10217796555092435/

Leave a comment