Tadabbur Kalamullah 5 Safar 1442H

☆Tadabbur Kalamullah 5 Safar 1442H☆

وَتَرۡزُقُ مَن تَشَاۤءُ بِغَیۡرِ حِسَابࣲ

“Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya” [Surah Aali Imran 27]

#Ayat ini memahamkan kita bahawa Allah swt adalah penjamin kehidupan kita. Setiap urusan rezeki kita telah ditetapkan untuk kita sejak di Luh Mahfuz lagi. Ini bererti hal ehwal berkaitan rezeki seseorang itu telah ditetapkan oleh Allah swt sebelum mereka diciptakan lagi.

#Firman Allah swt:

إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِینُ

“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya” [Surah az-Zhariyat 58]

وَفِی ٱلسَّمَاۤءِ رِزۡقُكُمۡ وَمَا تُوعَدُونَ

“Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu” [Surah az-Zhariyat 22]

#Rezeki untuk seseorang itu tidak akan pernah tertukar. Rezeki tidak akan pernah tersalah alamat. Justeru, jangan pernah merasa risau dan bimbang akan perihal rezeki kerana ia adalah urusan mutlak Allah swt. Jika kita mengetahui hakikat ini maka kita akan lebih tenang dalam hal rezeki. Tugas kita ialah berusaha mencari rezeki yang halal dan sentiasa berdoa meminta kepadaNya, berharap kepadaNya dan bergantung kepadaNya.

#Persoalan lambat atau cepat, mudah atau sulit bergantung kepada sejauh mana kesungguhan kita meminta kepadaNya, sejauh mana kesyukuran kita atas pemberianNya, sejauh mana ketaqwaan kita kepadanya.

وَمَن یَتَّقِ ٱللَّهَ یَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجࣰا * وَیَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَیۡثُ لَا یَحۡتَسِبُۚ وَمَن یَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَیۡءࣲ قَدۡرࣰا

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu” [Surah at-Talaq 2-3]

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَىِٕن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِیدَنَّكُمۡۖ وَلَىِٕن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِی لَشَدِیدࣱ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Surah Ibrahim 7]

#Sayidina Umar bin Abdul Aziz ketika beliau di penghujung usianya, orang bertanya kepada beliau: “Apa yang engkau tinggalkan untuk anak-anakmu?” Sayidina Umar menjawab: “Aku meninggalkan untuk mereka ketaqwaan kepada Allah. Jika mereka adalah orang-orang yang soleh, maka sesungguhnya Allah adalah wali (pelindung) bagi orang-orang yang soleh. Jika mereka bukan orang yang soleh, maka tidak akan aku tinggalkan sedikitpun yang membantu mereka bermaksiat kepada Allah..”

♡Yakinlah bahawa jika Allah mentakdirkan rezeki itu adalah milik kita, maka rezeki itu akan tetap datang kepada kita walaupun jutaan manusia menghalang. Sentiasalah berusaha, bertaqwa, berdoa dan bersyukur kepadaNya♡

🐊Ust naim

Telegram

Klik link ini untuk JOIN

bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1960

Leave a comment