☆Tadabbur Kalamullah 4 Safar 1442H☆
إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan… [Surah an-Nahl 90]
#Allah memerintahkan para hambaNya untuk berlaku adil dalam setiap perkataan dan perbuatan. Allah swt juga memerintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan dan kebajikan. Allah swt menyuruh kita untuk sentiasa berusaha menuju yang lebih baik dan mengutamakan yang terbaik.
#Adil bermaksud meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya dan memberikan hak kepada masing-masing yang mempunyai hak. Adil yang diperintahkan Allah ini mencakupi adil terhadap hakNya dan adil terhadap hak hambaNya.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّ ٰمِینَ لِلَّهِ شُهَدَاۤءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا یَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰۤ أَلَّا تَعۡدِلُوا۟ۚ ٱعۡدِلُوا۟ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” [Surah al-Ma’idah 8]
#Ihsan ialah melakukan sesuatu diluar kewajipan yang dituntut ke atas seseorang, seperti bersedekah dan segala perbuatan yang tidak diwajibkan Allah namun berpahala jika dilakukan.
#Adil dan ihsan merangkumi semua. Bukan hanya pemimpin negara, namun juga pemimpin dalam keluarga, bahkan kepada diri kita sendiri. Apapun yang dipimpin, siapapun, dia perlu bertanggungjawab. Jika dia tiada rakyat sebagai pemimpin sekalipun, pancaindera adalah rakyatnya.
#Jom kita hayati kisah insan yang tersangat adil dan tersangat ihsan kepada rakyatnya di bawah ini:
Imam al-Suyuti merekodkan kisah Fatimah binti Abdul Malik, isteri kepada Sayidina Umar Abdul Aziz yang datang menziarahi suaminya dan mendapati suaminya itu sedang menangis. Lalu Fatimah bertanya suaminya: “Mengapa engkau menangis wahai Khalifah”. Sayidina Umar bin Abdul Aziz lalu menjawab: “Aku dilantik untuk menguruskan urusan umat Muhammad. Ada dikalangan mereka yang susah, miskin, lapar dan dizalimi” . Lalu dia berkata:
فعلمتُ أن ربي سائلي عنهم يوم القيامة، فخشيتُ ألا تثبتَ لي حجة فبكيتُ
“Maka aku tahu bahawa Tuhanku aku bertanya tentang semua keadaan rakyatku ini dan aku takut aku tidak mempunyai hujah untuk semua perkara. Dengan sebab itu aku menangis.” (Tarikh al-Khulafa)
#Lihatlah bagaimana Sayidina Umar bin Abdul Aziz bimbang dan susah hati sehingga menangis kerana sangat takut sekiranya dia tidak berjaya menjadi pemimpin yang adil dan baik sepanjang berkhidmat kepada rakyatnya.
♡Bersikap adil dan ihsanlah dengan seluruh manusia hingga ke akhir hayat kita. Jangan sesekali zalim dan sombong kerana kesudahan kita adalah kebinasaan♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
