☆Tadabbur Kalamullah 3 Safar 1442H☆
وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلۡمِسۡكِینَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِیلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِیرًا
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau” [Surah al-Isra’ 26]
#Allah swt memerintahkan agar berbuat baik, memberi nafkah, bersilaturrahim serta memuliakan kaum kerabat. Allah swt juga menyuruh agar menyantuni golongan fakir miskin dengan pemberian zakat, sedekah, pembiayaan dan cakna dengan keperluan mereka.
#Nabi saw sangat mengambil berat hal ehwal keperluan fakir miskin serta berusaha membantu mereka sedaya yang termampu.
#Dikisahkan oleh Sayidatina Khadijah r.ha ketika wahyu mula-mula diturunkan, dengan menyebut satu-persatu karakter Rasulullah saw ketika Baginda pulang dalam keadaan menggigil kerana pertama kali berjumpa dengan Jibril di Gua Hira’:
وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الحَقِّ
“Demi Allah, Allah tidak akan mensia-siakanmu. Sesungguhnya engkau adalah orang yang menghubungkan silaturrahim, membantu orang yang kesusahan, mengusahakan bagi yang kehilangan, menyantuni orang yang lemah, memuliakan serta membantu mereka yang menegakkan kebenaran”. (Sahih al-Bukhari)
#Pernah suatu hari Nabi saw didatangi oleh sekumpulan manusia yang sangat miskin. Mereka berkaki ayam, pakaian dan penampilan mereka menggambarkan kesusahan hidup mereka. Sahabat Nabi yang menyaksikan peristiwa ini berkata:
فتمعر وجه رسول الله صلى الله عليه وسلم لما رأى بهم من الفاقة
“Berubah wajah Rasulullah bilamana melihat kemiskinan (keadaan susah) yang mereka hadapi.” (HR Muslim)
*Setelah selesai solat, Rasulullah saw segera menghimpunkan para sahabat dan Baginda saw bersabda meminta agar golongan yang susah ini dibantu.
#Oleh yang demikian, sebagai seorang mukmin yang berakhlak dengan akhlak Rasulullah saw maka sewajarnya kita sentiasa mengambil berat tentang kehidupan fakir miskin, keperluan dan kesusahan mereka.
#Pesan Yahya bin Muaz rahimahullah kepada kita semua: “Kecintaanmu pada orang-orang fakir miskin adalah akhlak para Nabi. Menyantuni mereka dengan duduk bersama mereka adalah tanda-tanda orang yang soleh dan menjauhi daripada mendampingi mereka adalah tanda-tanda orang munafik”.
♡Jom peduli dengan kesusahan golongan fakir miskin disamping sentiasa menyambung silaturrahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
