JANGKITAN BAKTERIA HELICOBACTER PYLORI

JANGKITAN BAKTERIA HELICOBACTER PYLORI

.

Sakit perut sering dipandang remeh oleh kebanyakan individu. Masalah ini sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa disebabkan oleh tekanan dan bebanan kerja ataupun salah makan. Tahukah anda, sakit perut ini mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria Helicobacter pylori?

.

Kebanyakan bakteria akan mati dalam perut disebabkan oleh kepekatan asid yang tinggi. Namun, H. pylori merupakan sejenis bakteria yang berupaya menahan persekitaran berasid di dalam perut.

.

Selepas memasuki perut, H. pylori akan bergerak dan melekat pada dinding perut. Bakteria ini akan menembusi ke dalam lapisan mukus perut dan melemahkan lapisan mukus pelindung perut. Jangkitan bakteria ini harus dirawat seawal mungkin bagi mengelakkan komplikasi yang serius seperti ulser perut dan risiko kanser perut.

.

Tanda-tanda dan gejala

.

1. Loya

2. Muntah

3. Kembung perut

4. Sendawa yang kerap

5. Berat badan susut mendadak

6. Tidak berselera makan

7. Nafas berbau busuk

8. Sakit abdomen

.

Faktor risiko yang meningkatkan kepada jangkitan H. pylori

.

1. Hidup dalam keadaan yang sesak

Anda mempunyai risiko jangkitan H. pylori yang lebih tinggi jika anda tinggal di rumah dengan ramai orang.

.

2. Hidup tanpa bekalan air bersih

Mempunyai bekalan air yang bersih dapat membantu mengurangkan risiko H. pylori.

.

3. Hidup di negara membangun

Orang yang tinggal di negara-negara membangun, di mana keadaan yang sesak dan tidak bersih mungkin lebih biasa, mempunyai risiko jangkitan H. pylori yang lebih tinggi.

.

4. Hidup dengan seseorang yang mempunyai jangkitan H. pylori

Jika seseorang yang tinggal bersama anda mempunyai H. pylori, anda mungkin juga berpotensi mempunyai H. pylori.

.

Ujian Dan Prosedur Untuk Menentukan Jangkitan H. pylori

.

Sekiranya seseorang mempunyai gejala jangkitan H. pylori, maka ujian khas perlu dijalankan untuk menentukan diagnosis sebenar. Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk menentukan jangkitan H. pylori, antara yang biasa dijalankan adalah ujian nafas urea, ujian analisis najis dan prosedur endoskopi.

.

Bolehkah Jangkitan H. pylori Ini Dirawat?

.

Jangkitan H. pylori boleh dirawat dengan menggunakan kombinasi beberapa jenis ubat. Ubat-ubatan yang digunakan biasanya terdiri daripada ubat antibiotik dan ubat proton pump inhibitors. Terdapat juga kombinasi rawatan yang terdiri daripada antibiotik, proton pump inhibitors dan juga bismuth. Ubat-ubatan dalam rawatan H. pylori akan dipreskripsikan kepada pesakit selepas ujian dan pemeriksaan oleh doktor bergantung kepada keadaan pesakit.

.

Antara contoh antibiotik yang sering digunakan adalah Clarithromycin dan Amoxicillin manakala ubat proton pump inhibitors adalah seperti Pantoprazole. Ubat-ubatan ini perlu diambil atas arahan yang diberikan oleh doktor untuk suatu tempoh tertentu. Kegagalan mengikut arahan yang ditetapkan mungkin mengundang risiko kerintangan antibiotik dan jangkitan berulang.

.

Kombinasi antibiotik yang digunakan adalah bertujuan untuk memusnahkan bakteria dalam perut dengan lebih berkesan. Proton pump inhibitors pula berfungsi untuk membantu meningkatkan keberkesanan antibiotik, membantu mengurangkan gejala dan juga menggalakkan penyembuhan.

.

Selepas melengkapkan satu kitaran rawatan, ujian susulan perlu diadakan untuk memastikan sama ada jangkitan Helicobacter pylori telah berjaya dihapuskan. Sekiranya jangkitan bakteria tersebut masih tidak dapat dihapuskan sepenuhnya selepas kitaran rawatan, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor semula untuk mendapatkan rawatan lanjut. Doktor akan membuat pemeriksaan dan memilih rawatan yang sesuai kepada pesakit bagi satu tempoh rawatan tertentu.

.

Cara-cara Untuk Mengelakkan Jangkitan H. pylori

.

Untuk elak daripada jangkitan H. pylori, orang awam dinasihatkan agar mengamalkan kebersihan asas termasuk membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

.

Selain itu, mengambil makanan yang disediakan dengan peralatan yang bersih, minum air daripada sumber yang bersih serta menggunakan peralatan makanan peribadi. Pastikan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengambil diet harian yang seimbang. Habiskan ubat-ubatan dalam rawatan jangkitan H. pylori seperti diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi bagi mengelakkan kerintangan antibiotik berlaku atau jangkitan berulang.

.

#HealthDrZubaidi

www.facebook.com/185816391438444/posts/3419427884743929/

Leave a comment