☆Tadabbur Kalamullah 12 Muharram 1442H☆
وَقُلۡ جَاۤءَ ٱلۡحَقُّ وَزَهَقَ ٱلۡبَـٰطِلُۚ إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقࣰا
Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap” [Surah al-Isra’ 81]
#Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menyebut dalam kitabnya, ar-Rahiq al-Makhtum: “Setelah kota Mekah dibuka dan Rasulullah bersama umat Islam memasukinya, Baginda lalu menuju ke al-Masjidil Haram. Di sana Baginda bertawaf mengelilingi Kaabah. Baginda menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil membaca ayat diatas (Surah al-Isra’ 81). Kemudian baginda membaca:
قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Katakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat” [Surah Saba’ 49]
Pada masa yang sama berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berkecai. Selepas menyempurnakan bilangan tawaf, Baginda masuk ke dalam Kaabah. Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar serta ukiran kayu seekor burung merpati, lalu Baginda memecahkannya. Manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkan. Selepas itu Baginda Rasulullah menutup pintu Kaabah dalam keadaan Baginda masih di dalam Kaabah bersama Sayidina Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. Di situ Baginda berdiri dengan membelakangi pintu Kaabah dan bersembahyang. Setelah itu, Baginda berjalan-jalan di dalamnya, bertakbir di setiap penjurunya dan menyebut kalimah Tauhid. Kemudian barulah Baginda membuka pintu Kaabah. Pada masa itu, kaum Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf sambil menunggu apa yang hendak dilakukan oleh Rasulullah saw ke atas mereka. Rasulullah memegang pintu Kaabah, manakala khalayak Quraisy menunggu di bawah. Baginda lalu bersabda:
لَا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لَا شَرِيك لَهُ صَدَقَ وَعْده وَنَصَرَ عَبْده وَهَزَمَ الْأَحْزَاب وَحْده…
“Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiriNya.”
#Kemudian baginda berkata: “Wahai orang-orang Quraisy! sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah. Kemudian Baginda membaca ayat al-Quran daripada Surah al-Hujurat ayat 13. Kemudian sambung Baginda dengan sabdanya:
يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، مَا تُرَوْنَ أَنِّي فَاعِلٌ فِيكُمْ؟ قَالُوا: خَيْرًا، أَخٌ كَرِيمٌ، وَابْنُ أَخٍ كَرِيمٍ، قَالَ: فَإِنِّي أَقُول لَكُمْ كَمَا قَالَ يُوْسُف لِإخْوَتِه: لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ، اذْهَبُوا ، فَأَنْتُمْ الطُّلَقَاءُ
“Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu fikirkan akan aku lakukan terhadap kamu semua?”. Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana engkau seorang saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia”. Maka jawab Rasulullah: “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu sepertimana Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu). Ayuh beredarlah. Kamu semua bebas”.
♡Peristiwa pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan 8 Hijrah ini merupakan IBU KEMERDEKAAN yang dilakukan oleh Rasulullah saw dengan toleransi yang amat tinggi, yang patut ditulis dengan tinta emas kerana mengembalikan hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia). Jom contohi Rasulullah saw!!♡
*SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 63. MALAYSIA PRIHATIN*
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
