Tadabbur Kalamullah 11 Muharram 1442H

☆Tadabbur Kalamullah 11 Muharram 1442H☆

وَلَا تُجَـٰدِلۡ عَنِ ٱلَّذِینَ یَخۡتَانُونَ أَنفُسَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِیمࣰا * یَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَلَا یَسۡتَخۡفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمۡ إِذۡ یُبَیِّتُونَ مَا لَا یَرۡضَىٰ مِنَ ٱلۡقَوۡلِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا یَعۡمَلُونَ مُحِیطًا

“Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa. Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan” [Surah an-Nisa’ 107-108]

#Berkata Prof. Dr Wahbah az-Zuhaili dalam tafsir al-Wajiz: “Dan janganlah engkau membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka, kerana sesungguhNya Allah tidak suka orang yang khianat, yang berdosa”.

#Kemudian Allah menjelaskan keadaan orang-orang yang suka melakukan khianat dan membongkar perbuatan mereka. Allah menjelaskan bahawa para pengkhianat itu selalu sembunyi-sembunyi ketika berbuat dosa, baik kerana rasa malu atau takut akan mendapat bahaya, namun mereka tidak dapat sembunyi dari Allah dan tidak malu kepadaNya dengan meninggalkan perbuatan dosa tersebut akibat iman mereka yang sangat lemah.

#Jangan sesekali membela pengkhianat dan menjadi pengkhianat kerana di hari akhirat akan menjadi satu penyesalan dan kesengsaraan. Bahkan Allah membenci orang yang khianat.

إِنَّ ٱللَّهَ یُدَ ٰ⁠فِعُ عَنِ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ كُلَّ خَوَّانࣲ كَفُورٍ

“Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur” [Surah al-Hajj 38]

#Disebutkan dalam sebuah hadis daripada Sayidina Anas r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

يُجَاءُ بِالإِمَامِ الْخَائِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، فَتُخَاصِمُهُ الرَّعِيَّةُ ، فَيفلحوا عَلَيْهِ ، فَيُقَالُ لَهُ: سُدَّ ركنا من أَرْكَانِ جَهَنَّمَ

“Pada hari Kiamat, didatangkan seorang pemimpin yang khianat, lalu rakyatnya berhujah dengannya. Akhirnya mereka menang ke atas dirinya. Lalu dikatakan kepadanya: Ke sana! Tempati salah satu sudut neraka Jahannam” (HR al-Bazzar)

#Sayidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ مِنْ أَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ مَالِهِ فَلْيَتَحَلَّلْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ حِينَ لَا يَكُونُ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ ، وَإِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَجُعِلَتْ عَلَيْهِ

“Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham. Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya” (HR al-Bukhari, at-Tirmizi, Ahmad dan al-Baihaqi)

♡Jangan sesekali membela, membantu dan menyokong orang-orang yang khianat, pendosa dan orang yang zalim. Disamping itu jangan golongkan diri di dalam golongan yang khianat. Bagi sesiapa yang terlanjur melakukan pengkhianatan, maka bertaubatlah kerana Allah sangat membenci golongan yang khianat dan diancam azab yang dahsyat di akhirat kelak♡

🐊Ust naim

Telegram

Klik link ini untuk JOIN

bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1937

Leave a comment