Tadabbur Kalamullah 8 Muharram 1442

☆Tadabbur Kalamullah 8 Muharram 1442H☆

هُوَ ٱلَّذِیۤ أَنزَلَ ٱلسَّكِینَةَ فِی قُلُوبِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ لِیَزۡدَادُوۤا۟ إِیمَـٰنࣰا مَّعَ إِیمَـٰنِهِمۡۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِیمًا حَكِیمࣰا

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana” [Surah al-Fath 4]

#Kebahagiaan ialah apabila wujud ketenteraman jiwa, ketenangan hati dan kedamaian fikiran.

#Ayat ini mengisahkan mengenai para sahabat yang geram, tidak puas hati dan rasa terkilan yang teramat sangat kerana tidak dapat menunaikan ibadah umrah setelah menempuh perjalanan yang jauh dari Madinah dan telah sampai ke bumi Mekah. Tambahan pula mereka melihat terma Perjanjian Hudaibiyah itu berat sebelah, maka ini telah menambah kegeraman dan sakit hati di kalangan para sahabat. Namun keadaan terkawal tatkala Allah menurunkan sakinah (ketenangan) ke dalam hati para sahabat.

#Sakinah itu dikurniakan kerana mereka taat dan patuh kepada Rasulullah saw sehinggakan mereka boleh menerima apa sahaja dugaan dan cubaan. Mungkin sebahagian sahabat tidak dapat menerima keputusan yang telah dibuat yakni tidak boleh menunaikan umrah serta termeterai perjanjian damai dengan kafir Mekah. Tetapi kerana arahan itu dari Rasulullah, maka mereka terima juga dengan akur. Kerana patuh dan taat, maka perasaan tidak puas hati dalam diri mereka itu, Allah hilangkan kemudian diisikan dengan sakinah dariNya.

لَّقَدۡ رَضِیَ ٱللَّهُ عَنِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ إِذۡ یُبَایِعُونَكَ تَحۡتَ ٱلشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِی قُلُوبِهِمۡ فَأَنزَلَ ٱلسَّكِینَةَ عَلَیۡهِمۡ وَأَثَـٰبَهُمۡ فَتۡحࣰا قَرِیبࣰا

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” [Surah al-Fath 18]

#Oleh itu, fahamlah kita bahawa sakinah ini dikurniakan kepada manusia yang sanggup mengikut syariat dan sunnah Rasulullah saw. Sakinah bukan ketenangan biasa-biasa. Ianya anugerah dari Allah kepada hambaNya yang sanggup mengikut jalan syariatNya. Sakinah itu diperolehi hasil dari ketaatan. Ia juga merupakan alamat orang itu ahli syurga. Mereka sentiasa tenang dalam kehidupan mereka. Mereka telah mendapat bayangan ahli syurga.

#Dikisahkan mengenai seorang pemuda Nigeria menceritakan bahawa ibunya membangunkannya di penghujung malam, pada sepertiga malam, ia berkata: “Wahai ibu, saya ingin ketenangan sebentar”. Jawab ibunya: “Saya tidak membangunkanmu kecuali agar engkau dapat ketenangan. Wahai anakku, jika engkau telah masuk syurga maka tenanglah (engkau di sana)”

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَا وَمَسَـٰكِنَ طَیِّبَةࣰ فِی جَنَّـٰتِ عَدۡنࣲۚ وَرِضۡوَ ٰ⁠نࣱ مِّنَ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۚ ذَ ٰ⁠لِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar” [Surah at-Tawbah 72]

♡Untuk kita memperolehi ketenangan sebagaimana diperolehi oleh para sahabat maka berusahalah menjadi manusia yang benar-benar mentaati perintah Allah dan Rasul dalam apa jua keadaan sekalipun. Dengar dan taat!!♡

🐊Ust naim

Telegram

Klik link ini untuk JOIN

bit.ly/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1934

Leave a comment