☆Tadabbur Kalamullah 7 Muharram 1442H☆
فَلَا تُعۡجِبۡكَ أَمۡوَ ٰلُهُمۡ وَلَاۤ أَوۡلَـٰدُهُمۡۚ إِنَّمَا یُرِیدُ ٱللَّهُ لِیُعَذِّبَهُم بِهَا فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَتَزۡهَقَ أَنفُسُهُمۡ وَهُمۡ كَـٰفِرُونَ
“Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula)” [Surah at-Tawbah 55]
#Sebahagian daripada kita menyangka bahawa kebahagiaan itu bila kita hidup dilimpahi kekayaan, mewah, nikmat yang melimpah-ruah, hidup senang-lenang dan dikelilingi anak-anak cucu cicit. Namun perlu diingat bahawa harta benda juga boleh menjadi punca kepada penyeksaan, kecelakaan, kesusahan dan azab. Perkara inilah yang disebutkan oleh Allah di dalam ayat diatas.
#Allah swt mengingatkan bahawa janganlah orang mukmin terpengaruh dan terpesona dengan harta benda orang kafir yang melimpah dan keturunan mereka yang menjadi kebanggaan mereka, kerana semua yang mereka banggakan itu hanya akan menambah seksaan yang mereka derita di dunia dan di akhirat kelak.
#Berkata Qatadah rahimahullah: “Janganlah kamu terpesona dengan harta dan anak-anak mereka di dalam kehidupan dunia ini. Sesungguhnya Allah hanya menghendaki untuk mengazab mereka di akhirat nanti dengan harta dan anak-anak mereka itu.”
#Didunia mereka dengan susah payah mengumpulkan harta benda, tanpa menghiraukan apa sahaja risiko dan cabaran, yang penting bagi mereka harta benda dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya dengan cara apa sahaja, sekalipun dengan cara yang salah dan keji, kerana mereka merasakan bahawa harta benda yang banyak itulah yang akan memberi kebahagiaan kepada mereka di dunia dan di akhirat. Sebenarnya mereka tertipu.
أَیَحۡسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِۦ مِن مَّالࣲ وَبَنِینَ * نُسَارِعُ لَهُمۡ فِی ٱلۡخَیۡرَ ٰتِۚ بَل لَّا یَشۡعُرُونَ
“Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu. (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar)” [Surah al-Mu’minun 55-56]
#Bahkan mereka akan dimatikan dalam keadaan kafir. Dengan demikian, seksaan yang akan dikenakan lebih pedih dan lebih keras. Mereka juga di azab pada saat sakaratul maut kerana nyawa akan dicabut dengan penuh kesengsaraan serta dalam keadaan kafir. Orang yang meninggal dunia dalam keadaan kafir, semua amal dan usahanya akan sia-sia dan binasa.
قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِینَ أَعۡمَـٰلًا * ٱلَّذِینَ ضَلَّ سَعۡیُهُمۡ فِی ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا وَهُمۡ یَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ یُحۡسِنُونَ صُنۡعًا * أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ بِـَٔایَـٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَاۤىِٕهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَـٰلُهُمۡ فَلَا نُقِیمُ لَهُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ وَزۡنࣰا * ذَ ٰلِكَ جَزَاۤؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا۟ وَٱتَّخَذُوۤا۟ ءَایَـٰتِی وَرُسُلِی هُزُوًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?. (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.” [Surah al-Kahfi103-106]
♡Ketahuilah bahawa harta dan anak-anak boleh membahagiakan kita. Namun, harta dan anak-anak juga boleh menjerumuskan kita ke lembah azab dan kebinasaan jika tersalah langkah dan mati dalam kekufuran♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
