☆Tadabbur Kalamullah 6 Muharram 1442H☆
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَءَامِنُوا۟ بِرَسُولِهِۦ یُؤۡتِكُمۡ كِفۡلَیۡنِ مِن رَّحۡمَتِهِۦ وَیَجۡعَل لَّكُمۡ نُورࣰا تَمۡشُونَ بِهِۦ وَیَغۡفِرۡ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” [Surah al-Hadid 28]
#Dalam ayat ini Allah swt mengatakan ganjaran yang bakal diperolehi oleh hambaNya yang beriman dan bertaqwa, iaitu
1. Dikurniakan dua kali ganda nikmat daripada Allah swt
2. Diberikan cahaya yang terang sinarnya untuk mempermudahkan melintasi titian sirat
3. Diampunkan dosa dan kesalahan.
#Firman Allah swt:
وَلِمَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ جَنَّتَانِ
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga” [Surah ar-Rahman 46]
یَوۡمَ تَرَى ٱلۡمُؤۡمِنِینَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ یَسۡعَىٰ نُورُهُم بَیۡنَ أَیۡدِیهِمۡ وَبِأَیۡمَـٰنِهِمۖ بُشۡرَىٰكُمُ ٱلۡیَوۡمَ جَنَّـٰتࣱ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۚ ذَ ٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ
“(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): “Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar” [Surah al-Hadid 12]
#Oleh itu, berusahalah untuk digolongkan di kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa kerana para muttaqin (orang bertaqwa) memiliki perasaan takut kepada Allah swt di dalam niat, perkataan dan perbuatannya. Sentiasa mengikhlaskan diri kepada Allah swt dalam mentaatiNya agar hati mereka beroleh cahaya daripada Allah swt.
#Orang-orang yang bertaqwa juga sentiasa berada dalam perlindungan dan peliharaan Allah swt, berpegang teguh dengan tali yang kukuh daripada terjerumus ke dalam kegelapan, kelalaian dan kesalahan kerana kedudukan para muttaqin adalah di dalam cahaya kebenaran yang terang benderang.
ٱللَّهُ وَلِیُّ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ یُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ أَوۡلِیَاۤؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ یُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِۗ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ
“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya” [Surah al-Baqarah 257]
♡Ya Allah, jadikanlah kami termasuk di dalam golongan hambaMu yang beriman kerana dengan keimanan itu kami bakal perolehi kemenangan didunia dan di akhirat. Jadikanlah kami termasuk di dalam kalangan hambaMu yang bertaqwa kerana dengan taqwa itu kami bakal beroleh gandaan rahmatMu, kejayaan mendapat cahaya untuk mudah melintasi titian sirat dan keampunanMu. Aamiiin Ya Rabbal ‘Aalamiiin♡
🐊Ust naim
Telegram
Klik link ini untuk JOIN
bit.ly/tadabburkalamullah
Facebook:
