SOAL JAWAB
Cabut Pokok Yang Tumbuh Di Atas Kubur
SOALAN:
Di atas kubur yang sudah lama biasanya tumbuh pokok yang kecil dan kadang-kadang pokok yang berbunga yang ditanam oleh saudara-mara simati.
Soalan saya bolehkah kita ambil pokok tersebut untuk ditanam di rumah kita?
JAWAPAN:
Jika ada pokok yang tumbuh di atas kubur samada berbunga atau tidak maka tidak boleh diambil kerana ia adalah hak orang yang menanamnya dan manfaatnya kembali kepada mayat yang ditanam disitu yang mendapat rahmat dengan izin Allah.
Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang meletakkan pelepah kurma yang masih segar di atas dua kubur yang lalu sahabat bertanya kenapa diletakkan pelepah kurma itu di atas kubur maka Rasulullah SAW menjawab:
لَعَلَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Mudah-mudahan diringankan kedua penghuni kubur ini selama pelepah ini belum kering.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]
Berkata Syeikh Khatib Syarbini:
ويسن أيضا وضع الجريد الأخضر على القبر وكذا الريحان ونحوه من الشيء الرطب ولا يجوز للغير أخذه من على القبر قبل يبسه لأن صاحبه لم يعرض عنه إلا عند يبسه لزوال نفعه الذي كان فيه وقت رطوبته وهو الاستغفار
Maksudnya: “Dan disunatkan meletakkan dahan yang masih segar atas kubur dan begitu juga pokok-pokok kecil yang berbau harum. Dan tiada harus bagi orang lain mengambilnya apa yang atas kubur itu sebelum ia kering (mati) kerana tuannya tiada berhajat lagi apabila kering ia kerana sudah hilang menafaatnya yang mana menfaatnya itu ialah ketika ia masih hidup iaitu istighfar.” [Kitab Mughni Muhtaj]
Tersebut pada kitab I’anah At-Talibin:
ويحرم أخذ شيء منهما ما لم ييبسا لما في أخذ الأولى من تفويت حظ الميت المأثور عنه صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: ”Dan haram mengambil suatu dari ranting yang masih hidup atau pohon -pohon kecil di kubur selama belum kering keduanya kerana pada mengambil itu akan menghilangkan bahagian yang didapat oleh simati sebagaimana yang diceritakan daripada Nabi SAW.”
Ada pun mencabut atau memotong rumput atau lalang atau pokok yang tumbuh liar disekitarnya yang menyukarkan orang yang datang ziarah maka hukumnya adalah harus.
Wallahua’lam
◆ Ikuti INSTAGRAM wnmuhdfirdaus ◆
http://www.instagram.com/wnmuhdfirdaus
• Wan Muhammad Firdaus •
=======================
☪ Kalam Untuk Semua ☪
Kredit: @wnmuhdfirdaus
@thedakwahstudent
