Islamic – Tadabbur Kalamullah 29 Zulhijjah 1441H

☆Tadabbur Kalamullah 29

Zulhijjah 1441H☆

وَمَا جَعَلۡنَا لِبَشَرࣲ مِّن قَبۡلِكَ ٱلۡخُلۡدَۖ أَفَإِی۟ن مِّتَّ فَهُمُ ٱلۡخَـٰلِدُونَ

“Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?” [Surah al-Anbiya’ 34]

#Allah swt menegaskan dalam ayat ini bahawa semua manusia akan mati dan tiada seorang pun yang kekal hidup di alam dunia ini. Nabi Muhammad saw insan kesayangan Allah swt sama dengan manusia lainnya, yakni tidak akan kekal hidup di dunia ini. Allah swt tidak menjadikan kehidupan abadi melainkan di negeri akhirat kelak.

یَـٰقَوۡمِ إِنَّمَا هَـٰذِهِ ٱلۡحَیَوٰةُ ٱلدُّنۡیَا مَتَـٰعࣱ وَإِنَّ ٱلۡـَٔاخِرَةَ هِیَ دَارُ ٱلۡقَرَارِ

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal” [Surah Ghafir 39]

#Ingatlah ketetapan Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Allah menetapkan bahawa hidup di dunia ini adalah ujian. Manusia diuji dengan dengan dua jenis ujian, iaitu keburukan dan kebaikan sebagai cubaan untuk mengukur kualiti iman dan kesabaran manusia. Sesiapa yang sabar dalam mengerjakan kebaikan maka dia layak beroleh ganjaran syurga. Sesiapa yang tidak sabar menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah maka dia akan ditempatkan di dalam neraka, seburuk-seburuk tempat kembali.

#Seluruh manusia akan dikembalikan kepada Allah untuk dipertanggungjawabkan mengenai cara hidupnya di dunia dan mendapatkan hasilnya, samada keredhaan Allah atau kemurkaan Allah.

إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَصَادِقࣱ

“(Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar” [Surah az-Zariyat 5]

♡Kita sedang berada di penghujung tahun 1441H. Ini menunjukkan bahawa setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun umur kita semakin meningkat. Persoalannya adakah amalan dan pahala kita juga meningkat atau masih sama ataupun semakin berkurangan. Ingatlah bahawa hidup kita akan ada masa tamatnya. Kita perlu mati. Kita perlu tinggalkan dunia ini. Kita perlu pulang ke negeri yang kekal. Oleh itu siapkan bekalan yang mencukupi, berkualiti serta bersih daripada riyak untuk di bawa mengadap Allah swt. Semoga amalan itu dapat menyelamatkan kita daripada kecelakaan di negeri akhirat. Aamiiin♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1920

Leave a comment