☆Tadabbur Kalamullah 28 Zulhijjah 1441H☆
یَوۡمَ یَجۡمَعُكُمۡ لِیَوۡمِ ٱلۡجَمۡعِۖ ذَ ٰلِكَ یَوۡمُ ٱلتَّغَابُنِۗ وَمَن یُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ وَیَعۡمَلۡ صَـٰلِحࣰا یُكَفِّرۡ عَنۡهُ سَیِّـَٔاتِهِۦ وَیُدۡخِلۡهُ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ أَبَدࣰاۚ ذَ ٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِیمُ
“(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), – itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar” [Surah At-Taghabun 9]
#Suatu hari nanti, seluruh manusia akan dikumpulkan iaitu pada hari kiamat di padang mahsyar untuk mendapat balasan setimpal dengan apa yang telah ia lakukan didunia dahulu. Saat itu, manusia akan dikumpulkan dengan amalannya (baik dan buruk), para nabi akan dikumpulkan dengan umatnya, orang zalim akan dikumpulkan dengan orang yang dizaliminya dan orang yang terdahulu akan dikumpulkan dengan orang yang terkemudian.
#ِPada hari itu, orang yang datang mengadap Allah dengan amal yang sedikit kerana lalai dan leka dibuai tipu daya dunia akan merasa menyesal dan tersangat rugi serta nampak kerugiannya itu. Saat itu juga manusia saling menagih haknya. Orang yang benar akan menagih hak terhadap orang yang batil, dan orang yang dizalimi akan mengambil pahala orang yang menzaliminya serta diberikan dosanya pula kepada yang menzaliminya lalu dihumban ke dalam neraka.
#Calon penghuni neraka yang merasa bahagia didunia dahulu, hidup dalam keadaan tidak peduli perintah Allah, tidak peduli dosa pahala, halal haram, tidak cakna orang-orang yang memerlukan, menggunakan nikmat Allah untuk perkara kekufuran, sombong dan angkuh dengan para ulamak, akan merasai gerun dengan azab di hadapan matanya yang dahulunya mereka tidak mempercayainya serta menyesal yang teramat sangat. Namun sudah terlambat.
#Hanya orang yang beriman dan beramal soleh sahaja yang tenang, seronok dan gembira menanti balasan syurga daripada Allah swt. Allah akan mengampunkan segala dosa mereka serta diberi pelbagai nikmat yang teristimewa serta dimasukkan mereka ke dalam syurga yang terindah berteman para bidadari dan segala dihiasi pelbagai kemewahan, makanan, minuman, pakaian dan segala-galanya berupa nikmat dan kegembiraan. Itulah kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan yang diperoleh orang yang beriman.
#Untuk mendapat kenikmatan syurga sebagaimana yang digambarkan, maka pada hari ini kita perlu menjadi hamba Allah yang taat, bertaqwa dan sabar daripada melakukan dosa dan perkara yang dibenci Allah. Sabda Nabi saw:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
“Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir” (HR Imam Ahmad, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
#Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: “Setiap orang mukmin dipenjara dan dihalang di dunia ini daripada syahwat yang haram dan makruh. Orang mukmin itu juga mukallaf (dituntut) untuk melakukan perbuatan ketaatan yang berat. Namun begitu, apabila dia meninggal maka dia akan berehat daripada semua ini. Dan semua itu akan berubah sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah swt kepadanya daripada nikmat-nikmat yang berkekalan dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang apa pun. Adapun orang yang kafir, mereka juga memperoleh apa yang mereka lakukan di dunia dalam keadaan sedikit dan kehidupan yang tidak sempurna atau samar-samar. Apabila dia meninggal, dia akan diazab buat selama-lamanya dan akan berada di dalam kepayahan yang abadi” (Lihat al-Minhaj)
♡Untuk tidak rugi dan menyesal di hari akhirat, berusahalah untuk melakukan amal soleh dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepadaNya. Semoga kita berjaya menghuni syurgaNya yang terindah. Aamiiin♡
🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah
Facebook:
