☆Tadabbur Kalamullah 27 Zulhijjah 1441H☆
وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَ ٰهِیمَ خَلِیلࣰا
“Dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya” [Surah an-Nisa’ 125]
#Allah swt telah menjadikan Nabi Ibrahim sebagai kekasihNya. Baginda telah mendapat kedudukan yang tinggi dan hebat ini kerana ketinggian taqwanya dan kesempurnaan ketaatannya kepada Allah swt. Firman Allah swt:
وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰۤ إِبۡرَ ٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَـٰتࣲ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّی جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامࣰاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّیَّتِیۖ قَالَ لَا یَنَالُ عَهۡدِی ٱلظَّـٰلِمِینَ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.” [Surah al-Baqarah 124]
#Nabi Ibrahim Alaihissalam merupakan bapa bagi kebanyakan para nabi dan rasul seperti Nabi Ismail Alaihissalam dan Nabi Yaakub Alaihissalam. Daripada keturunannya juga, lahir para nabi dan rasul yang lain seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ayyub, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Zakariyya, Nabi Ilyas, Nabi Yahya dan Nabi Isa Alaihimussalam. Bahkan, Rasulullah saw sendiri, juga daripada keturunan Nabi Ibrahim Alaihissalam dan ini sudah cukup menunjukkan kemuliaan dwn kehebatan Nabi Ibrahim Alaihissalam. Dan memang selayaknya baginda mendapat darjat kekasih Allah swt.
#Pengajaran daripada ayat ini, kita mestilah berusaha sedaya upaya agar dicintai dan dikasihi Allah. Oleh itu, kita mestilah menjalankan perintah dan suruhan Allah tanpa sebarang alasan dan dolak dalih. Sentiasa teguh iman apabila diuji dan tinggi tawakkal kepada Allah. Kita juga mesti belajar bagaimana cara baginda berdakwah dan istiqamah memperjuangkan Islam walaupun ditentang dan dihalang dengan pelbagai rancangan jahat. Terdapat di dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang perlu kita tahu, pelajari dan ikuti agar kita juga beroleh kedudukan yang mulia disisi Allah serta disayangi olehNya.
♡Beramallah dengan bersungguh-sungguh, jadilah hamba Allah yang benar-benar taat, sentiasa tingkatkan iman dan taqwa serta ikuti jalan para Nabi dan Rasul agar kita beroleh kemuliaan di dunia dan di akhirat. Aamiiin♡
🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah
Facebook:
