Islamic – SYARIAT, MAKRIFAT, HAKIKAT DAN PENGAJIAN TASAWWUF :

SYARIAT, MAKRIFAT, HAKIKAT DAN

PENGAJIAN TASAWWUF :

1. ZAMAN RASULULLAH ﷺ :

Pada Zaman Rasulullah ﷺ dan zaman para Sahabat r.a.

– tiada puak Syariat;

– tiada puak Makrifat;

– tiada puak Hakikat.

Yang ada hanya,

– para ‘Abid;

– para Siddiqin;

– para Zahid, walaupun kayaraya;

– para Syuhada.

Di Akhir Zaman pula puak yang mengaku puak Makrifat memperlekehkan amalan puak yang mereka gelar puak Syari’at.

Apakah tidak mereka merenungkan?

Setiap amalan dan ibadah …

– ada syariatnya;

– ada makrifatnya; dan,

– ada hakikatnya.

Tidak pernah terasing atau diasingkan antara satu dengan lainnya. Sentiasa ia berjalan serentak atas setiap amal dan ibadah.

– ISLAM ada Rukunnya;

Zahir dan batinnya.

– IMAN ada Rukunnya;

Rukun Iman semuanya atas hal ghaib.

– IHSAN ada pedoman dan

kaedahnya yang ditarbiahkan oleh

Baginda Rasulullah ﷺ.

Kita di akhir zaman sahaja yang memisah-misahkan Syariat, Makrifat dan Hakikat.

Padahal dalam setiap amal semua itu Syariat, Makrifat dan Hakikat berlaku dan berjalan serentak, tiada ia terpisah-pisah.

2. TASAWWUF

Perkataan tasawwuf tidak ditemui dalam mana-mana sumber wahyu samada al-Qur’an atau Hadith. Malah, ianya tidak digunakan oleh Rasulullah ﷺ, para sahabat dan juga para tabi’in.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Nasr al-Sarraj;

“Kami tidak mendengar nama

al-Sufiyyah pada zaman para

sahabat Nabi ﷺ, begitu juga

selepasnya … gelaran sufi itu

tidak diberikan kepada mana-mana

Sahabat Nabi ﷺ.”

[Lihat al-Luma’, ms 42]

Ada sembilan pandangan berkenaan asal-usul bagi kalimah Tasawwuf. Ianya dikatakan berasal daripada kata akar;

– al-safa’

– al-safw,

– al-sifat,

– al-saff,

– al-sufanah,

– sufat al-qafa’,

– Sufah bin Murr,

– al-suf; dan,

– sufia.

[Lihat Kalimah Sufi: A ‘Arabiyyah hiya am Yunaniyyah dalam Ta’rifah, i [Julai 1931], ms 264; al-Tasawwuf: Thawrah al-Ruhiyyah fi al-Islam, ms 29]

Antara kata akar yang dikaitkan dengan tasawwuf adalah:

– Seorang Sufi adalah yang menghiasi

diri dengan segala sifat yang terpuji

dan meninggalkan segala sifat tercela.

– Nama yang diberikan kepada

sebahagian fakir miskin dalam

kalangan orang Islam pada masa

awal Islam. Mereka adalah antara

orang-orang yang tidak mempunyai

rumah, tinggal di ruang luar Masjid

Nabawi pada ketika itu.

Para Sahabat Nabi ﷺ yang tinggal

di “Suffah” antaranya adalah

– Abu Darda’;

– Abu Zar al Ghifari; dan,

– Abu Hurairah.

– Ia bererti bulu iaitu sejenis pakaian

yang diperbuat daripada bulu binatang

yang menjadi pakaian kebanyakan

ahli tasawuf pada zaman dahulu

kerana pakaian jenis itu merupakan

pakaian yang paling digemari oleh

para anbiya’ dan para siddiqiin serta

juga merupakan syiar kepada orang

yang zuhud.

– Dinisbahkan kepada seorang lelaki

bernama al-Ghauth bin Mar bin Ad

bin Thabikhah bin Ilyas bin Mazar

yang sentiasa mengasingkan diri

daripada masyarakat kerana

bermunajat kepada Allah SWT di

Masjid al-Haram. Beliau lebih dikenali

sebagai “Suffah bin Murah”, terutama

nya ibunya yang sentiasa memanggil

nya “Sufah”.

– Membawa maksud suci. Ia merujuk

kepada tumpuan tasawwuf untuk

penyucian jiwa (tazkiyyatun nafs).

– Bermakna saf atau barisan samada

di medan perang ataupun barisan

hadapan ketika mendirikan solat.

Ini disebabkan kerana kebanyakan

para ahli sufi sentiasa berada dalam

barisan hadapan semasa menunaikan

solat di masjid dan juga mereka suka

memenuhi saf-saf hadapan ketika

berperang.

Pun begitu, kesemua kalimah ini secara etimologi dan tatabahasanya tidak sesuai dipadankan dengan kalimah tasawwuf kecuali kalimah al-suf. Oleh sebab itulah kebanyakan ahli tasawwuf menyatakan bahawa asal kalimah tasawwuf adalah daripada kata akar “al-suf”.

[Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, 2/550-551; al-Ta’aruf li Mazhab Ahl al-Tasawwuf, ms 28-35]

Sebagaimana Tasawwuf dari sudut bahasa, para ulama’ juga mempunyai pelbagai pandangan tentang definisi Tasawwuf dari sudut istilahnya.

Syeikh Ahmad Zarruq berkata, istilah Tasawwuf telah dihuraikan dengan dua ribu definisi. Ini kerana ketulusan untuk menghadapkan diri kepada Allah SWT dapat dicapai dengan pelbagai kaedah.

[Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, ms 2]

Walaupun begitu, semua definisi menjurus kepada pengertian yang sama iaitu;

“ILMU PENSUCIAN JIWA”.

Ibn ‘Ajibah menyatakan;

“Ia adalah ilmu yang diketahui

dengannya jalan untuk mencapai

kesempurnaan batin ke Hadrat

Raja bagi segala raja, mensucikan

batin dari segala sifat kekejian,

mengisikannya dengan pelbagai

kelebihan yang mulia”.

– Awalnya adalah ILMU;

– Pertengahannya adalah AMAL;

– Akhirnya adalah KURNIAAN

ALLAH SWT.

[Lihat Ma’arij al-Tashawwuf ila

Haqa’iq al-Tasawwuf, ms 4]

Syeikh Ahmad Zarruq mendefinisikan Tasawwuf sebagai :

– “Tasawwuf adalah Ilmu yang bertujuan

untuk memperbaiki hati dan bertumpu

hanya untuk ALLAH semata-mata”.

– “Fiqh adalah ilmu yang bertujuan

memperbaiki amal, memelihara

aturan dan menampakkan hikmah

dari setiap hukum”.

– “Sedangkan ilmu Tauhid adalah ilmu

yang bertujuan mewujudkan dalil-dalil

dan menghiasi Iman dengan keyakinan,

sebagaimana ilmu perubatan untuk

memelihara badan dan ilmu Nahu

untuk memelihara lisan.”

[Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, ms 6]

Syeikh Muhammad Amin al-Kurdi mendefinisikan tasawuf adalah;

“Sesuatu yang dengannya diketahui

hal ehwal kebaikan dan keburukan

jiwa”.

3. INTIPATI TASAWWUF :

Intipati utama Tasawwuf adalah adalah sebagaimana sabda Nabi ﷺ dalam menerangkan IHSAN :

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Maksudnya :

“Engkau beribadah kepada ALLAH

seakan-akan engkau melihat-NYA,

dan jika engkau tidak melihat-NYA,

sesungguhnya DIA melihatmu.”

Mengenai hadith di atas, Imam Tajuddin al-Subki berkata,

“Tasawwuf diisyaratkan dengan

IHSAN. Selain ilmu-ilmu itu (Aqidah,

Fiqh dan Tasawwuf), kalau ia tidak

kembali kepada ilmu-ilmu tersebut

(ISLAM, IMAN dan IHSAN), maka ia

adalah di luar Syariah.”

[Lihat Tabaqat al-Syafi’iyah al-Kubra,

1/117]

Samada ianya disebut “Tasawwuf”, “IHSAN” atau “Tazkiyyatun Nafs”, ia tetaplah membawa kepada maksud yang sama iaitu ilmu dan amal berhubung penyucian diri bagi mencapai maqam yang tertinggi dari sudut Ruhiyyah dan mencapai redha ALLAH SWT.

Semoga ALLAH SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang bersih dan suci jiwanya.

Ekstrak AL AFKAR #84 & #86.

– Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

4. TASAWUF TIADA DI ZAMAN

NABI ﷺ ?

Tohmahan yang sering dihalakan kepada “Tasawuf” ialah istilah itu tidak ditemui samada dalam al-Qur’an atau al-Hadith.

Memanglah, istilah itu tidak akan ditemui dalam al-Hadith atau al-Qur’an, sebab pada masa Nabi ﷺ ilmu-ilmu Islam masih pada peringkat awal dan belum berkembang?

Hatta di zaman Nabi ﷺ pun al-Qur’an belum dikumpulkan dalam sebuah Kitab seperti mana yang kita ada hari ini.

Tetapi itu tidak bermakna ilmu-ilmu tersebut tidak wujud atau salah, tetapi sebaliknya hanya nama ilmu itu sahaja sebagai suatu disiplin ilmu khusus belum muncul. Namun intipati, semangat dan ajaran ilmu itu sudah sebati dalam masyarakat di awal Islam lagi.

Kita akan temui perkara yang sama juga berlaku kepada nama-nama ilmu lain seperti Ilmu Aqidah, Ilmu Feqah, Ilmu Tajwid, Ilmu Ulum al-Hadith dan lain-lain juga belum muncul tetapi itu tidak bermakna umat Islam di kalangan generasi awal Islam tidak memiliki aqidah yang sahih atau fekah yang benar atau membaca al-Qur’an dengan tajwid yang salah.

Ketiadaan ilmu tersebut secara khusus disebabkan ketiadaan keperluan kerana Baginda ﷺ masih hidup dan sebarang permasalahan boleh terus dirujukkan kepada Baginda ﷺ.

Ambil sebagai contoh “Ilmu Nahu Arab” hari ini juga tiada di zaman Nabi ﷺ sebagai suatu disiplin ilmu khusus kerana orang Arab secara semulajadi memang fasih dalam bahasa Arab tanpa perlu disusun secara sistematik nahu atau tatabahasanya.

Mereka penyair arab dengan penguasaan bahasa Arab yang tinggi dan indah walaupun ramai yang “Ummiy” yakni buta huruf.

Tetapi apabila berlaku migrasi dan percampuran orang-orang Arab bergaul dengan orang-orang bukan Arab (“Ajam”) yang tidak fasih bahasa Arab, maka berlaku kesalahan dalam tatabahasa Arab di kalangan orang “Ajam”, maka pada ketika itu dirasakan perlu disusun secara khusus Tatabahasa Arab atau Ilmu Nahu ini.

Sejarah mencatatkan Abu al-Aswad Al-Duwali (67 H) daripada Bani Kinanah adalah orang pertama yang menyusun “Ilmu Nahu Arab” atas perintah Amirul Mu’minin Khalifah Sayyidina ‘Ali r.a.

Pernahkah kita mendengar ada hadith yang menyebut tentang segala hukum tajwid seperti Ikhfa’, Idgham dll?

Atau kategori-kategori hadith seperti Sahih, Dhaif, Palsu atau Mursal dll?

Tentu tidak.

Begitu juga halnya dengan Tasawuf, walaupun nama ilmu itu belum ada di zaman Nabi ﷺ dan para sahabat, namun mereka semuanya sudah beramal dengan tasawuf dalam kehidupan seharian mereka. Cuma tidak dipanggil dengan nama “ilmu tasawuf” secara khusus.

Sebab itu salah seorang imam tasawuf, Imam Abū al-Ḥassan al-Būshanjī (w.348H/959M) pernah menyebut,

“Tasawuf hari ini nama tanpa hakikat,

dahulu ianya hakikat tanpa nama”.

[Rujuk: التصوف اليوم اسم بلا حقيقة وقد كان

من قبل حقيقة بلا اسم]

Sheikh Hamza Yusuf, seorang ulama terkenal dari Amerika Syarikat dalam salah satu Youtube yang disiarkan bertajuk: “Tasawwuf (Islamic Spirituality)” menyebut hampir kesemua ulama termasuk Ibn Taymiyyah (w.1328M) sampailah Muhammad ibn Abdul Wahab (w.1793M) mengakui bahawa tasawuf adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam.

Yang diperselisihkan hanyalah “kandungan/amalan” ilmu tersebut.

Seperti mana halnya ilmu perubatan ada yang dipanggil Homeopati, Western Medicine atau Chinese Medicine dll.

Persoalan sama ada kita bersetuju dan menerima atau tidak bersetuju dengan cara perubatan tersebut itu merupakan persoalan lain, tetapi kita kena mengakui wujudnya disiplin-disiplin ilmu perubatan sedemikian.

Begitulah halnya ilmu tasawuf itu juga adalah sebahagian daripada ilmu dalam tradisi Islam. Nama tidak penting seperti mana kaedah yang berbunyi,

“Kita tidak bertelingkah dalam hal

istilah” (لا مشاحَّة في الاصطلاح), yang

penting hakikatnya dan tasawwuf

dipanggil dengan pelbagai nama

antaranya: Ilmu IHSAN, Ilmu Hakikat,

Ilmu Batin, Ilmu Penyucian/Penawar

Hati, Ilmu Akhlak, Ilmu Tazkiyyah

atau apa sahaja namun ia tidak

merubah hakikat ilmu tasawwuf

tersebut tetap wujud dalam ajaran

Islam”.

www.facebook.com/100037185377403/posts/274531833796327/

Leave a comment