Islamic – Tadabbur Kalamullah 22 Zulhijjah 1441H

☆Tadabbur Kalamullah 22 Zulhijjah 1441H☆

وَٱبۡتَغِ فِیمَاۤ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡـَٔاخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِیبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡیَاۖ

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…” [Surah al-Qasas 77]

#Allah swt menyuruh kita menggunakan segala harta dan kekayaan yang dianugerahkan kepada kita untuk jalan kebaikan. Segala anugerah Allah kepada kita berupa harta yang melimpah dan kenikmatan yang banyak disalurkan dengan berbuat taat serta bertaqarrub kepadaNya dengan berbagai amal-amal yang dapat menghasilkan pahala di dunia dan di akhirat. Kita hendaklah tamak dengan ganjaran akhirat. Itulah kebahagiaan hakiki yang bakal kita nikmati suatu ketika nanti.

#Dalam keseronokan dan keghairahan kita memburu kebahagian akhirat, Allah swt juga membenarkan kita menikmati keperluan dunia berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, pernikahan dan segala yang halal. Pada masa yang sama jangan sesekali lupa tanggungjawab kita di dunia ini. Sesungguhnya Rabbmu memiliki hak, dirimu memiliki hak, keluargamu memiliki hak serta orang yang disekelilingmu pun memiliki hak. Maka berikanlah setiap sesuatu sesuai dengan haknya.

#Kebahagiaan akhirat diperoleh bilamana kita melakukan amal ketaatan dengan nikmat kurniaanNya dengan penuh keikhlasan demi mencari keredhaanNya. Kita pulang mengadap Allah membawa muatan pahala yang tersangat berat dan berkualiti.

#Berkata Imam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin: “Bahagia ialah ketika mana manusia berada dalam satu puncak ketaqwaan. Ia merupakan kenikmatan daripada Allah swt”.

#Manakala tanda kebahagiaan dunia sebagaimana sabda Rasulullah saw:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

“Empat tanda kebahagiaan:

1. Isteri yang solehah

2. Tempat tinggal yang luas

3. Jiran yang soleh (baik) dan

4. Kenderaan yang elok.

Manakala 4 tanda kedukaan adalah:

1. Jiran yang buruk (jahat)

2. Isteri yang jahat (derhaka)

3. Tempat tinggal yang sempit dan

4. Kenderaan yang buruk.” (HR Ibnu Hibban. Sheikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan sanad hadis ini sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari)

♡Burulah kebahagiaan akhirat dengan disalurkan segala kekayaan dunia ke jalan menegakkan agama Allah swt. Nikmatilah kebahagiaan dunia dengan mengaut segala kurniaanNya dan digunakan untuk menambahkan ketaqwaan dan ketaatan. Moga kita beroleh bahagia dunia dan akhirat. Aamiiin♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

t.me/tadabburkalamullah/1913

Leave a comment