www.facebook.com/584333808273694/posts/4342745719099132/
TAZKIRAH JIWA SIRI 1324
CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA
PEMERINTAHAN DINASTI MUWAHIDUN : PERDEBATAN MUHAMMAD BIN TUMART DENGAN ULAMA MURABITUN (samb)(Siri 250)
Malik bin Wuhaib mencadangkan kepada Amir Ali bin Yusuf agar Muhammad bin Tumart ditangkap dan dipenjarakan. Namun cadangan ini tidak dipersetujui oleh seorang menteri Amir Ali bin Yusuf. Beliau membantah dengan berkata,
“Kamu jangan bertindak gopoh mengambil tindakan seperti itu. Sedangkan baru sahaja kamu menangis ketika duduk di atas kursi kamu kerana takutkan Allah apabila kamu mendengar kata-kata yang diucapkan oleh orang itu. Tidak rasional sekiranya setelah itu kamu mengambil tindakan menangkapnya. Kesannya nanti akan mendatangkan bantahan di tengah-tengah masyarakat. Dia hanya bersama enam orang anak buahnya sahaja. Malah kamu adalah penguasa sebuah pemerintahan yang sangat besar iaitu orang-orang Murabitun. Bagaimana kamu takut kepada orang itu?”
Amir Ali bin Yusuf memikirkan kata-kata menterinya dan cadangan dari hakim Malik bin Wuhaib. Beliau mesti membuat satu keputusan yang penting kerana akibatnya amat besar jika beliau tersalah langkah. Akhirnya Amir Ali bin Yusuf membiarkan Muhammad bin Tumart bebas. Beliau takut untuk menanggung dosa sekiranya menahan Muhammad bin Tumart tanpa ada alasan yang kukuh. Bahkan beliau berpendapat mungkin Muhammad bin Tumart dapat membantu pegawainya bagi memperbaiki keadaan negara yang dipenuhi maksiat dan mungkar. Namun Muhammad bin Tumart tidak mahu melakukannya.
Seperti mana yang telah dijelaskan sebelum ini, Muhammad bin Tumart mempunyai hasrat untuk menumbangkan pemerintahan Murabitun. Banyak perkara yang dilakukan oleh pemerintah tidak adil dan menyalahi syarak pada pandangan beliau. Maka pada pendapat beliau jalan yang terbaik adalah tumbangkan kerajaan Murabitun walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Kesungguhan beliau amat ketara sedangkan pada waktu itu pengikutnya hanyalah enam orang sahaja.
Setelah berakhirnya debat itu, Muhammad bin Tumart meninggalkan istana Amir Ali bin Yusuf di Marrakesh. Beliau telah bertemu dengan seorang sahabatnya dan mereka berenam telah bermusafir ke sebuah dusun yang jauh di pendalaman iaitu satu kawasan bernama Thenmala. Kota ini kemudianya menjadi pusat pemerintahan golongan Muwahidun.
Apa yang dapat kita ambil iktibar dari kisah ini ialah golongan yang tidak mampu berhujah akan bertindak dengan kuasa yang dimiliki. Kebenaran tidak dapat ditutup dengan tipu helah dan ketidakadilan. Seorang pemimpin yang bijak mesti menimbang kesan dari setiap keputusannya. Sementara itu Muhammad bin Tumart juga sedar apabila beliau dibiarkan bebas, maka beliau perlu mengukuhkan gerakannya dengan mencari tempat yang jauh dan tersembunyi untuk membuat strategi dan revolusi terhadap pemerintahan Murabitun.
Bersambung esok. Insya Allah
Ustaz Sabir
5hb. Julai 2020
13 Zulkaedah 1441 H
Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, A History Of The Moslem In Spain, Jejak Sejarah Andalusia, Syurga di Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Tarikh Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah
