Mendampingi Orang-orang Susah
==============
1. Yahya bin Muaz, seorang tokoh sufi pernah berpesan:
حبك الفقراء من أخلاق المرسلين ، وإيثارك مجالستهم من علامة الصالحين ، وفرارك من صحبتهم من علامة المنافقين
“Kecintaanmu pada orang-orang fakir miskin adalah akhlak para Nabi, menyantuni mereka dengan duduk bersama mereka adalah tanda-tanda orang yang soleh dan menjauhi mereka daripada mendampingi mereka adalah tanda-tanda orang munafik.” (Ittihaf Sadah al-Muttaqin)
2. Pernah suatu hari Rasulullah didatangi oleh satu kumpulan manusia yang sangat miskin. Mereka berkaki ayam, pakaian dan penampilan mereka menggambarkan kesusahan hidup mereka. Sahabat Nabi yang menyaksikan peristiwa ini berkata:
فتمعر وجه رسول الله صلى الله عليه وسلم لما رأى بهم من الفاقة
“Berubah wajah Rasulullah bilamana melihat kemiskinan (keadaan susah) yang mereka hadapi.” (HR Muslim)
3. Begitulah Rasulullah. Pemimpin yang sangat sensitif melihat kesusahan rakyat sehingga dapat dikenali dari riak wajahnya. Rasululllah segera menghimpunkan para sahabat (setelah selesai solat) dan Baginda menyarankan agar golongan susah ini dibantu.
4. Lantas Rasulullah membaca ayat dari surah al-Hasyr yang sering kita dengar dalam solat:
اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ
“Bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dipersiapkan buat dirinya untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah” (QS. Al-Hasyr: 18).
5. Mengapa ayat Surah al-Hasyr ini dipilih? Seakan Rasulullah ingin menjelaskan kepada kita bahawa sumbangan yang kita berikan kepada orang-orang yang susah akan menjadi bekalan yang pasti buat kita di akhirat kelak. Dan membantu orang susah adalah sebahagian dari sifat takwa.
6. Begitulah kecintaan Rasulullah untuk membantu dan duduk bersama orang-orang yang susah. Rasulullah bukan sahaja mempunyai sifat kasih yang tinggi pada mereka malah menyeru para sahabat agar membantu saudara mereka ini.
7. Dalam tempoh ini, pasti ada dikalangan kita yang terkesan perintah PKP. Yang berniaga terjejas dengan rezeki mereka, yang bekerja ada yang diberhentikan dan yang susah semakin dihimpit kesempitan. Perhatikan mereka disekeliling kita. Bantulah mereka sekadar yang termampu.
Semoga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
