Islamic – ☆Tadabbur Kalamullah 13 Zulkaedah 1441H☆

t.me/tadabburkalamullah/1875

☆Tadabbur Kalamullah 13 Zulkaedah 1441H☆

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ 

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” [Surah at-Taghabun 11]

#Kita perlu berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan dan tidak mengeluh bila diuji dengan musibah. Yakinilah bahawa selagi kita hidup di alam dunia ini, maka selagi itulah kita akan berdepan dengan pelbagai musibah dan ujian Allah swt. Ingatlah bahawa semua musibah yang berlaku adalah atas izin Allah swt.

#Sebagai hamba yang beriman, kita wajib bergantung kepada Allah dalam menghadapi musibah yang diturunkanNya agar dikurniakan kita ketenangan hati dan sentiasa dalam bimbingan serta rahmatNya.

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)” [Surah at-Talaq 3]

#Ulamak menyatakan, jika ditimpa musibah, ada 5 cara bagaimana seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang:

1. Jika menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang lain berbanding apa dialaminya. Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam kekuasaan Allah.

2. Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama. Oleh itu kembalilah hidup mengikut acuan agama untuk selamat dunia akhirat.

3. Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua makhluk dihidupkan semula di akhirat. Ujian diberi Allah masih dapat diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat. Jika Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara berterusan. Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan di akhirat.

4. Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah swt. Ketentuan dan catatan itu ada sejak azali di Ummul kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah dan tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu. Jika seseorang itu menghadapi ujian yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah swt. Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada bencana.

5. Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih besar sewaktu mereka ditimpa musibah. Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban, sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat.  Musibah itu hanya sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa depan.

#Antara amalan terbaik untuk memohon rahmat Allah dan diangkat bala musibah ialah: 

1. Memperbanyak doa kepada Allah, khususnya doa menolak bala. 

2. Bertakwa kepada Allah dengan bersungguh melakukan segala suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

3. Memperbanyak sedekah dalam apa bentuk yang termampu.

4. Perbanyak beristighfar memohon keampunan Allah.

5. Selalu memohon restu dan berbakti kepada ibubapa.

6. Memperbanyak dan merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan pelbagai cara termasuk melalui kemudahan teknologi maklumat.

♡Semoga Allah swt memberi kekuatan dan kemampuan untuk kita menghadapi musibah, bencana dan ujian dalam melahirkan kita sebagai hamba yang bertaqwa dan bersyukur kepadaNya♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Leave a comment