Islamic – ☆Tadabbur Kalamullah 12 Zulkaedah 1441H☆

t.me/tadabburkalamullah/1874

☆Tadabbur Kalamullah 12 Zulkaedah 1441H☆

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةࣱ

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…” [Surah al-Hujurat 10]

#Ini menunjukkan bahawa menjadi kewajipan kepada setiap Muslim yang beriman untuk mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli dan juga mengasihi saudara seagamanya.

#Perkataan ikhwah yang bermakna persaudaraan perlu dijadikan tema dalam hidup kita untuk mewujudkan persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan taqwa terhadap saudara seagama.

#Antara tuntutan dan hak persaudaraan yang perlu ditunaikan kepada saudara muslim yang lain ialah meziarahinya ketika sakit. Hal ini tidak boleh diabaikan apatah lagi memandangnya remeh. Sabda Nabi saw:

لِلْمُؤْمِنِ عَلَى الْمُؤْمِنِ سِتُّ خِصَالٍ: يَعُودُهُ إِذَا مَرِضَ، وَيَشْهَدُهُ إِذَا مَاتَ، وَيُجِيبُهُ إِذَا دَعَاهُ، وَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِذَا لَقِيَهُ، وَيُشَمِّتُهُ إِذَا عَطَسَ، وَيَنْصَحُ لَهُ إِذَا غَابَ أَوْ شَهِدَ

“Kewajipan seorang Mukmin ke atas seorang Mukmin yang lain ada enam: Menziarahinya ketika sakit, bersama dengannya ketika dia meninggal dunia, menyahut jemputan jika dijemput (ke majlis anjurannya), memberi salam kepadanya ketika bertemu, mendoakan kebaikannya untuknya ketika dia bersin dan tulus kepadanya ketika ketiadaannya ataupun ketika dia ada” (HR at-Tirmizi dan an-Nasaie)

#Imam al-Munawi dalam Faidhul Qadir menyebut bahawa hadis yang disebutkan adalah umum. Ini bermakna diwajibkan (dituntut) untuk menziarahi orang yang sakit walaupun dia seorang ajnabi (orang asing yang tiada kaitan dengan hubungan kekeluargaan).

#Selain dituntut ziarah orang sakit, Nabi saw juga menyebutkan tentang ganjaran yang terlalu hebat bagi sesiapa yang peduli dan ziarah orang sakit. Sabda Nabi saw:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا نَادَى مُنَادٍ مِنْ السَّمَاءِ طِبْتَ وَطَابَ مَمْشَاكَ وَتَبَوَّأْتَ مِنْ الْجَنَّةِ مَنْزِلًا

“Sesiapa yang pergi melawat orang yang sakit maka akan ada suara di langit yang menyerunya: “Engkau akan menjadi orang yang untung (baik) dan setiap langkah engkau akan elok dan tersedia untuk engkau sebuah tempat tinggal di syurga” (HR Ibnu Majah)

#Dalam riwayat lain, Nabi bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

“Sesiapa yang menziarahi orang yang sakit, maka dia akan sentiasa berada di jalan syurga sehinggalah dia pulang (daripada menziarahi orang tersebut)” (HR Muslim)

#Dengan kehadiran penziarah, sudah cukup untuk menggembirakan pesakit dan membuatnya lupa seketika musibah yang sedang dialaminya. Ini adalah kesan daripada ukhuwah (persaudaraan) yang dibina dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan.

#Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebut: “Disunatkan untuk orang yang menziarahi adalah daripada kaum kerabat ataupun sahabat handai yang mana dia berasa tenang bila ada kenalannya yang menziarahinya dan merasa susah hati ketika ketiadaan mereka”.

♡Lihatlah bagaimana Allah swt dan NabiNya sangat menggalakkan umatnya untuk menziarahi orang yang sakit. Inilah antara cara untuk mengeratkan hubungan persaudaraan sesama manusia khususnya sesama orang mukmin. Jom kukuhkan persaudaraan!!♡

🐊Ust naim

TELEGRAM :

Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:

https://t.me/tadabburkalamullah

Facebook:

https://m.facebook.com/tadabburkalamullah

Leave a comment