Islamic

🌻Ceria Pagi🌻
Assalamualaikum dan Selamat Pagi..

*ISTERI PARA SYUHADA*

Jodoh, rezeki dan ajal maut adalah urusan Allah s.w.t. Jangan sesekali mengandaikan sesuatu perkara yang “misteri” jika seseorang wanita tidak berkekalan dengan seseorang suami kerana meninggal dunia setelah mengahwininya. Kisah ini pernah terjadi ke atas Atiqah binti Ziad sehingga dianggap sebagai “Isteri Para Syuhada”.

Atiqah binti Amru bin Naufal al-Quraisyiah r.anha pernah disuruh berpisah dengan suami pertamanya Abdullah bin Abu Bakar kerana Sayyidina Abu Bakar r.a mendapati beberapa kali anaknya lewat solat berjemaah kerana kealpaan kenikmatan berumahtangga. Akhirnya setelah diperintahkan bercerai, mereka rujuk kembali namum Abdullah bin Abu Bakar telah gugur sebagai syuhada dalam Perang Taif (8H).

Begitulah ujian yang dilaluinya dan selepas itu beliau dilamar dan berkahwin dengan Sayidina Umar al Khattab atas dasar prihatin, kasihan dan tanggungjawab. Ada juga riwayat mengatakan beliau berkahwin terlebih dahulu dengan Zaid bin al-Khattab terlebih dahulu yang gugur sebagai syuhada dalam dalam peperangan di Yamamah semasa Khalifah Abu Bakar r.a. Walau bagaimanapun jodohnya dengan Sayidina Umar al Khattab tidak lama setelah Amirul Mukminin yang adil dan merendah diri itu mati di tangan pembunuhnya.

Selepas beberapa ketika, Atiqah diperisterikan oleh Zubair bin al Awwam namun Zubair kemudiannya terbunuh dalam pertempuran di Lembah Sibak, suatu tempat antara Mekah dan Basrah (36H).

Setelah tamat idahnya, Sayidina Ali pula melamarnya, tetapi beliau menolak kerana tidak sanggup melihat nasib yang bakal menimpa bakal suaminya. Hal ini demikian menyebabkan Abdullah bin Umar pernah berkata, _”Siapa yang ingin mati syahid, pergilah berkahwin dengan Atiqah.”_

Setelah beberapa ketika bersendirian, Atiqah berkahwin lagi dengan Hussain bin Ali, cucu Rasulullah s.a.w. Dalam perjalanan ke Basrah bersama sama suami serta keluarganya yang lain, rombongan mereka telah diserang musuh. Di hadapan matanya sendiri, Atiqah menyaksikan suaminya dibunuh setelah bertempur dengan musuh dalam mempertahankan diri.

Selepas kewafatan suaminya Sayidina Hussain bin Ali r.a, Atiqah hidup bersendirian meskipun ada dalam kalangan sahabat yang ingin memperisterikannya. Beliau menghabiskan masa dengan beribadat kepada Allah s.w.t sehingga akhir hayatnya.

Demikianlah seuntai kisah “Isteri Para Syuhada” yang seharusnya menjadi pedoman kepada kita semua bahawa jodoh dan ajal maut adalah ketentuan Allah s.w.t. Tidak ada istilah “perempuan membawa bala”, “sial” dan pelbagai istilah khurafat yang mungkin timbul jika terjadi ke atas seseorang perempuan yang sering kematian suaminya. Sesungguhnya Allah s.w.t yang lebih mengetahui atas setiap kejadian sebagai pengajaran kepada hamba hambaNya.

Petikan: Majalah Q&A , Isu:20.

🌷 والله أعلم🌷

Leave a comment