☆Tadabbur Kalamullah 11 Zulkaedah 1441H☆
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat” [Surah an-Nisa’ 59]
#Allah swt mengatakan ketika manusia berselisih dalam hal yang berkaitan urusan agama dan dunia, maka kembalikanlah perkara tersebut kepada al-Quran dan sunnah yang suci, jika mereka benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Ini kerana tindakan orang yang beriman akan mendahulukan Allah dan Rasul daripada yang lain. Dengan mengembalikan perkara tersebut kepada al-Quran dan sunnah itu lebih baik bagi mereka di sisi Allah swt dan merupakan tempat rujukan paling baik daripada mereka mengembalikannya kepada hawa nafsu mereka.
وَمَا ٱخۡتَلَفۡتُمۡ فِیهِ مِن شَیۡءࣲ فَحُكۡمُهُۥۤ إِلَى ٱللَّهِۚ ذَ ٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبِّی عَلَیۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَیۡهِ أُنِیبُ
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)” [Surah ash-Shura 10]
#Perselisihan dan perbezaan pendapat sentiasa berlaku, sejak dahulu di zaman Nabi saw masih hidup lagi sehinggalah pada hari ini. Maka penyelesaiannya ialah kembali kepada al-Quran dan petunjuk Nabi saw. Perbezaan pendapat jika diperhalusi, merupakan satu kebaikan dan kerahmatan bagi kita umat kemudian.
#Sayidina Umar bin Abdul Aziz pernah menyebut berkaitan perselisihan yang berlaku dalam kalangan umat Islam:
مَا سَرَّنِي لَوْ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَخْتَلِفُوا ، لأَنَّهُمْ لَوْ لَمْ يَخْتَلِفُوا لَمْ تَكُنْ رُخْصَةٌ
“Aku tidak gembira jika para sahabat Muhammad saw tidak berselisih pendapat sesama mereka. Ini kerana, jika mereka tidak berselisih pendapat maka tidak akan berlakunya rukhsah (keringanan)”
#Namun, yang utama ialah mengutamakan adab dalam menguruskan perselisihan pendapat, antaranya ialah:
1. Ikhlas kerana Allah dalam mencari kebenaran.
2. Berlapang dada dan terbuka untuk perbahasan dalam masalah yang diperselisihi.
3. Tidak mengeluarkan kata-kata kesat.
4. Menghormati pihak yang berbeza.
5. Tidak menuduh pihak yang berbeza itu dengan tuduhan yang jahat seperti sesat.
#Ketahuilah bahawa perselisihan dan perbezaan pendapat memang berlaku sejak daripada dahulu lagi. Akan tetapi, perselisihan atau perbezaan tersebut perlu diurus dengan baik supaya tidak timbul perkara-perkara yang tidak sepatutnya iaitu dengan kembali kepada Allah dan Rasul.
♡Allah swt memberi jalan keluar daripada persengketaan dan perselisihan pendapat dengan meminta hambaNya agar merujuk kepada al-Quran dan juga sunnah Rasulullah saw melalui para alim ulamak♡
🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah
Facebook:
