Health – KERADANGAN (INFLAMMASI) DAN PENUAAN

t.me/drnormannorawi/200

KERADANGAN (INFLAMMASI) DAN PENUAAN

Proses penuaan adalah proses yang berlaku secara progresif dan beransur-ansur dan hakikatnya ia tidak boleh dihentikan. Punca sebenar proses penuaan masih lagi dikaji dan pelbagai teori diberikan oleh ahli sains untuk menerangkan tentang proses penuaan. Diantara teori yang di cadangkan oleh ahli sains adalah teori keradangan kronik (inflammation), tekanan redoks (redox stress), kerosakan mitochondria, immunosenescense, neuroendocrinosenescence, modifikasi epigenetik dan penyakit berkaitan penuaan. Walaubagaimanapun, tiada satu pun teori tersebut boleh menerangkan semua aspek yang berlaku dalam proses penuaan. Pelbagai faktor yang menyumbang kepada proses penuaan sebenarnya dan semuanya berkaitan antara satu sama lain dengan kesan respon inflammasi yang menjadi proses utama. Faktor persekitaran dan gaya hidup adalah diantara penyumbang utama kepada masalah keradangan atau inflammasi dan disfungsi berkaitan penuaan.

Proses penuaan bukanlah satu penyakit sebenarnya tetapi ia adalah disebabkan pengumpulan mengikut tempoh masa yang panjang yang menyebabkan perubahan di peringkat molekular, sellular hingga kepada tisu dan organ secara keseluruhannya yang akan menyebabkan peningkatan risiko penyakit dan kematian. Berdasarkan kajian dan pemerhatian ahli sains yang terkini, keradangan atau inflammasi memainkan peranan utama dalam proses penuaan dan juga punca pelbagai penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser. Oleh kerana itu jika kita boleh mengawal kadar keradangan didalam tubuh kita maka seseorang menjadi lebih sihat dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit kronik secara tidak lansung juga dapat memanjangkan usia.

Tindakbalas keradangan adalah akibat kecederaan atau jangkitan pada kawasan yang terlibat atau di peringkat selular lagi. Keradangan kronik tahap rendah adalah sangat berkaitan dengan proses penuaan. Kadar keradangan ini boleh di ketahui dengan mengukur ‘biomarker’ atau penanda dalam darah iaitu bahan pro-inflammasi sitokin seperti interleukin-6 (IL-6), faktor nekrosis tumor-α (TNF-α), Protin C-Reaktif (CRP) dan serum amyloid-A (SAA).

Terdapat pelbagai mekanisma dan keadaan yang menyebabkan masalah keradangan seperti pemakanan, aktiviti fizikal, obesiti, stres dan pencemaran. Kajian menunjukkan pelbagai penyakit kronik hari ini sebenarnya berkaitan dengan proses keradangan yang tidak terkawal dan berlebihan seperti obesiti, penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, strok, diabetes, kanser, penyakit buah pinggang kronik, osteoarthritis, osteoporosis, kedutan kulit pra-matang dan penyakit Alzheimer. Peningkatan tekanan oksidatif akibat serangan radikal bebas yang berterusan dan berlebihan akan menyebabkan masalah keradangan yang kronik. Oleh kerana itu proses penuaan dikaitkan dengan peningkatan peredaran spesis oksigen radikal (ROS) dan kekurangan anti oksidan dalam tubuh.

Oleh kerana itu saranan untuk pemakanan dan gaya hidup sihat sekarang memfokuskan ke arah mengurangkan keradangan dalam tubuh. Pemakanan yang meningkatkan kadar keradangan dalam tubuh adalah makanan proses yang tinggi gula, asid lemak trans dan karbohidrat halus seperti tepung gandum. Kurang aktiviti fizikal dengan tidak bersenam juga berkait dengan peningkatan kadar keradangan dalam tubuh. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan masalah kerangan meningkat dan merosakkan keseimbangan hormon dalam tubuh. Tabiat yang tidak sihat seperti merokok menyebabkan masalah keradangan kerana asap rokok mengandungi pelbagai toksin dan bahan radikal bebas yang menyebabkan keradangan berlaku terutamanya dalam saluran darah dan paru-paru. Oleh kerana itu merokok sangat berkaitan dengan kanser paru-paru dan juga masalah penyakit jantung koronari.

Pemahaman tentang keradangan adalah amat penting untuk memahami bagaimana penyakit pengerasan saluran darah atau atherosklerosis berlaku yang menjadi punca kepada masalah kardiovaskular seperti penyakit jantung koronari, strok, hypertensi dan gangrene. Atherosklerosis adalah penyakit akibat keradangan dinding dalam saluran darah atau

endothelium. Setelah berlaku masalah keradangan didinding dalam saluran darah endothelium maka proses keradangan menyebabkan berlakunya atheroma yang menyempitkan saluran darah. Memang kolesterol LDL terlibat didalam proses atherosklerosis tetapi ia bukan punca berlakunya keradangan secara terus. Oleh kerana itu pelbagai kajian menunjukkan kesan positif pengurangan risiko penyakit kardiovaskular apabila seseorang mengambil makanan yang mengurangkan keradangan seperti minyak ikan (omega 3), minyak zaitun (omega 9), buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi pelbagai bahan fitokimia semulajadi yang melawan proses keradangan.

Masalah utama kenapa kadar penyakit jantung terus meningkat adalah kerana masyarakat moden diseluruh dunia sekarang mengambil makanan yang menyebabkan masalah keradangan ini seperti makanan proses, gula, asid lemak trans dan sebagainya. Masyarakat menjadi keliru kerana sentiasa di beritahu bahawa makanan yang sihat adalah makanan yang rendah kolesterol dan rendah kalori semata-mata. Sedangkan hakikatnya makanan yang menyebabkan keradangan tiada kena mengenan dengan kandungan kolesterol didalamnya. Makanan seperti telur terutamanya telur kuning dikatakan tidak sihat kerana kandungan kolesterol sedangkan kuning telur mengandungi beta karotin yang merupakan bahan anti keradangan. Oleh kerana itu apabila kajian ke atas telur secara terus dijalankan didapati ia tidak meningkatkan risiko penyakit jantung. Sedangkan makanan seperti gula dan lemak trans (marjerin, krimer) yang menyebabkan keradangan meningkatkan risiko kardiovaskular secara terus tetapi susah di fahami oleh sesetengah ahli kesihatan yang hanya memahami konsep kiraan kalori dan kolesterol.

Masyarakat perlu didedahkan dengan punca sebenarnya penyakit-penyakit kronik untuk mereka mengambil langkah-langkah pencegahan yang betul. Situasi semasa yang kita lihat hari ini dengan pelbagai penyakit kronik yang melanda masyarakat kita seperti wabak yang amat sukar dibendung adalah berpunca daripada salah faham tentang konsep sebenar penyakit terjadi dan kaedah yang pencegahan yang sebenarnya. Yang lebih malang apabila ahli kesihatan sendiri dilihat keliru dengan konsep ini kerana tiadanya pendedahan tentang perkembangan kajian-kajian terbaru disamping tiadanya subjek perubatan nutrisi (Nutritional Medicine) yang diajar secara khusus kepada mereka. Subjek ini amat penting dan kritikal kepada semua masyarakat terutamanya ahli-ahli kesihatan untuk membendung masalah kesihatan yang semakin menular sekarang. Ia sepatutnya dijadikan subjek dalam pengajian perubatan untuk semua ahli perubatan daripada doktor, jururawat, paramedik hinggalah kakitangan kesihatan keseluruhannya. Insyaallah

Dr Norman Mohd Norawi

MBBS (Man), MSc(UCSI), MNM (ACNEM), FAGE (MAHE)

Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Melaka

Leave a comment