Islamic

Cnp

*TAZKIRAH JIWA SIRI 1322*

*CABARAN PEMERINTAHAN ANDALUSIA*

*PEMERINTAHAN DINASTI MUWAHIDUN : PERMULAAN REVOLUSI MUHAMMAD BIN TUMART (Siri 248)*

Muhammad bin Tumart telah bertemu dengan seorang lelaki bernama Abdul Mu’min bin Ali yang pertama kali mahu merantau keluar negara. Beliau telah bertanya kepada Abdul Mu’min bin Ali tujuannya untuk merantau. Abdul Mu’min bin Ali menyatakan tujuannya adalah untuk menuntut ilmu pengetahuan agama.

Apabila mendengar hasrat yang murni ini, Muhammad bin Tumart telah menawarkan kepada Abdul Mu’min bin Ali untuk menanggung segala perbelanjaan dan berjanji untuk menjadi gurunya. Semenjak itu kedua mereka sering bertemu dan Abdul Mu’min bin Ali mula berguru dengan Muhammad bin Tumart. Hari demi hari berlalu Abdul Mu’min bin Ali semakin kagum dengan ilmu yang dimiliki oleh girunya Muhammad bin Tumart. Hubungan keduanya semakin akrab sehingga sering kelihatan ke mana sahaja mereka pergi sehingga hujung hayat Muhammad bin Tumart.

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini Muhammad bin Tumart mempunyai metode dakwah yang keras. Abdul Mu’min bin Ali telah turut sama mewarisi metode ini dalam dakwahnya. Bagaimana ajaran guru begitulah pembentukan anak muridnya. Seterusnya keduanya berdakwah ke Maghribi dan telah berjaya mengumpul lima orang pengikut yang baru. Kini mereka bertujuh sepakat menjalankan misi dakwah.

Ketika di Maghribu mereka telah menyaksikan banyak maksiat dan kemungkaran yang berlaku dalam pemerintahan Murabitun. Antaranya arak diminum dan dijual secara berleluasa, pegawai kerajaan melakukan kezaliman terhadap rakyat dengan mengenakan cukai yang tidak rasmi, harta anak yatim tidak dibelanjakan dengan cara yang tidak betul, wanita-wanita tidak menutup aurat serta bercampur dengan kaum lelaki yang bukan muhram.

Ibnu Katsir dalam bukunya Al-Bidayah Wa An-Nihayah mencatatkan sikap keras Muhammad bin Tumart dan pengikutnya dalam dakwahnya,

“Pada satu hari beliau melihat seorang wanita yang tidak menutup aurat dibawa dalam tandu oleh beberapa orang pengawal seperti seorang ratu atau puteri kerajaan. Beliau telah bertanya kepada penduduk tentang wanita tersebut dan diberitahu bahawa wanita itu adalah adik kepada Amir Ali bin Yusuf. Lalu Muhammad bin Tumart dan pengikutnya telah menyerang para pengawal tersebut sehingga wanita di dalam tandu jatuh tersembam ke atas tanah.”

Cara yang dilakukan oleh Muhammad bin Tumart dan pengikutnya adalah sangat kasar atas nama agama untuk membanteras maksiat. Namun beliau tetap kekal dengan caranya bahkan mengatakan,

“Kemaksiatan dan kemungkaran yang sudah marak di wilayah Murabitun umpama banjir yang sudah mencecah leher. Mahu tidak mahu kita harus membasminya. Kita mesti mulakan pada pucuk pimpinan terlebih dahulu. Merekalah yang patut kita jadikan sasaran dahulu dan perlu diberi keutamaan. Kita mulakan dengan Ali bin Yusuf dan pegawai tinggi kerajaan sama ada pegawai biasa atau tentera. Kita tangkap mereka dan jatuhkan hukuman Qisas sebagaimana yang berlaku. Dengan cara ini kita akan mendapat simpati rakyat. Walau apa pun kita mesti mengubah keadaan negara ini dengan tuntutan Kitabullah al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya.

Persoalannya, adakah tindakan beliau itu mengikut metode dakwah berdasarkan al-Quran dan Sunnah? Apa pendapat anda?

Bersambung esok. Insya Allah

Ustaz Sabir
3hb. Julai 2020
11 Zulkaedah 1441 H

Rujukan utama Bangkit dan Runtuhnya Andalusia, A History Of The Moslem In Spain, Jejak Sejarah Andalusia, Syurga di Andalusia, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Tarikh Ibnu Khaldun, Al-Muqaddimah

Leave a comment