☆Tadabbur Kalamullah 10 Zulkaedah 1441H☆
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai ke usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi berkatalah dengan mereka menggunakan perkataan yang mulia (yang bersopan santun)” [Surah al-Isra’ 23]
#Telah berkata Imam Ibnu Kathir rahimahullah di dalam Tafsir al-Quran al-Azim: “Ketika mana Allah swt melarang untuk berkata-kata dengan perkataan yang buruk terhadap kedua ibu bapa, Dia juga telah memerintahkan untuk berbuat baik dan menggunakan perkataan yang baik terhadap mereka iaitu: dengan cara yang lembut, baik, penuh beradab, memuliakan dan menghormati mereka”.
وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّیَانِی صَغِیرࣰا
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” [Surah al-Isra’ 24]
#Di dalam hadith, Nabi saw bersabda:
إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ
“Apabila Allah swt memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” (HR Muslim)
#Ibubapa merupakan anugerah yang teristimewa buat setiap insan. Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik kepada mereka.
#Dalam Islam, semua anak-anak diperintahkan untuk tetap bergaul dengan cara yang baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun keduanya tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Firman Allah swt:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا
“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik” [Surah Luqman 15]
#Imam Ibn Kathir rahimahullah berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kamu kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutinya dan dalam masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya”. (Tafsir al-Quran al-Azim)
♡Mana-mana anak yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibubapanya merupakan manusia yang sangat bertuah, beruntung dan istimewa. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh baginda Nabi saw bahawa orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga. Berbakti dan muliakanlah kedua ibubapa kita. Mereka adalah syurga kita!!♡
🐊Ust naim
TELEGRAM :
Sila klik link di bawah ini untuk JOIN👇:
https://t.me/tadabburkalamullah
Facebook:
